Menerusi penganjuran ekspo selama sembilan hari bermula 6 hingga 14 Oktober ini, golongan usahawan, petani dan penternak terlibat juga dapat meningkatkan lagi rangkaian perniagaan mereka dengan me­nembusi pasaran baharu.

Bagi Pe­nga­rah Urusan Mar­­­zuq Bayu Sdn. Bhd., Ahmad Najib Habeb, ini kali pertama syarikat pembekal dedak dan ayam kampung yang beroperasi di Seri Kembangan, Selangor itu mengikuti ekspo terbesar pernah disertainya setakat ini.

Bukan itu sahaja, syarikatnya turut mempamerkan ayam per­hia­san baka Jepun atau ayam ‘Onagadori’ dan ayam Sumatera yang boleh dijual sehingga mencecah RM15,000 seekor.

“Ekspo ini ternyata sangat bagus bukan sahaja untuk mempromosi dan memasarkan produk syarikat, malah pada masa sama mencari pelanggan dan rakan niaga baharu seperti koperasi yang berminat untuk menceburi industri ayam kampung.

“Selain itu, kami juga dapat mendidik pengunjung khususnya pelajar mengenai 22 baka ayam perhiasan termasuk Onagadori dan Sumatera yang menjadi tarikan ramai kerana ciri-ciri luarannya yang unik,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Pe­ngarah Urusan Desa Selatan Beef Sdn. Bhd., Kamarruzaman Abdul Jalil, syarikat fidlot lembu utama di negeri ini yang beroperasi di Taman Pertanian Sungai Lebak, Kota Tinggi itu mempamerkan Sani, si lembu jantan berbadan sado.

Boleh dianggap sebagai ‘sele­briti’, setiap pengunjung yang datang pastinya tidak melepaskan peluang melihat dan mengambil gambar lembu berusia tiga tahun seberat satu tan yang merupakan kacukan daripada spesies limousin, iaitu lembu daging dari Pe­rancis dan brahman dari India.

“Selain Sani, kita turut membawa 10 ekor lembu baka lain untuk dipamerkan, antaranya spesies murray gray, belgian blue, brahman, hereford dan charolis.

“Para pengunjung bukan sahaja dapat melihat lembu ini dari dekat, malah turut ditunjukkan demonstrasi permanian berhadas, perahan susu lembu dan memandikan lembu-lembu ini,” ka­tanya.

Selain usahawan perusahaan kecil sederhana (PKS), golongan artis tanah air turut tidak melepaskan peluang membuka gerai jualan, antaranya Fauziah Ahmad Daud, Zara Zya, Rozie Othman, Lisdawati, Acong Sweet Child dan Tunku Hanis.

Seperti usahawan lain, Tunku Hanis enggan melepaskan peluang untuk turut sama mempromosikan losyen pelangsing Nona Manis yang diusahakannya.

“Alhamdulillah, sambutan da­ripada pelanggan dan peminat cukup baik meskipun pada hari biasa. Di samping dapat menjual produk Nona Manis, dapat juga saya beramah mesra dengan para peminat di ekspo ini,” kata­nya.