Presidennya, Armin Barniaz Pahamin berkata, pertemuan itu turut membincangkan beberapa perkara teknikal berkenaan operasi Proton Edar.

Beliau berkata, PEDA berharap Abdul Rashid mampu menangani jurang kesilapan padanan antara kehendak pelanggan dengan semua varian model Proton.

Katanya, permintaan pelanggan perlu diteliti dengan sebaik mungkin bagi memberikan mereka pengalaman yang menyeronokkan apabila berurusan de­ngan Proton.

“Selain itu, persaingan sesama pengedar Proton perlu ditangani dengan segera bagi mengelak berlakunya perebutan pelanggan yang akhirnya akan merugikan diri sendiri.

“Kami mahu satu polisi baharu yang dapat memberikan situasi menang-menang tanpa memberi kesan negatif kepada semua rangkaian pengedar Proton di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum pelantikan yang berkuat kuasa 1 Februari itu, Abdul Rashid adalah Ketua Pegawai Teknikal (CTO) Proton dan bertanggungja­wab dalam pembangunan empat mo­del baharu Proton yang dilancar­kan pada tahun lalu serta pernah mengetuai syarikat dalam DRB-Hicom.

Mengenai prestasi jualan empat model baharu Proton yang dilancarkan tahun lalu, Armin membe­ritahu, tempahan untuk tahun 2016 bagi kesemua model tersebut sangat memberangsangkan.

Bagaimanapun katanya, jualan kereta Proton secara keseluruhannya mengalami kemerosotan disebabkan beberapa faktor yang telah dikenal pasti.

“Model varian dan warna yang dikeluarkan oleh Proton bercanggah dengan kehendak pelanggan, kelewatan dalam penghantaran tempahan manakala kelulusan pinjaman daripada bank sangat rendah hanya 30 atau 40 peratus daripada 10 orang pembeli yang memohon pembiayaan.

“Varian warna dan penghantaran lewat telah diatasi sejak bulan lalu namun kelulusan pinjaman bank masih menjadi masalah utama,” jelas beliau.