Pulangan tidak sampai RM5,000 daripada tanaman berjumlah 12,000 pokok cili daripada varieti Kulai 461 pada musim ketiga tidak mematahkan semangat Paizah Nor Azman Syah, 34, untuk terus gigih mengusahakan tanaman cili merah tersebut di kawasan seluas 0.40 hektar (1 ekar) di Jeram, Kuala Selangor.

Dengan erti kata lain, tanaman musim ketiga gagal sepenuhnya sehinggakan tidak pulang modal, selain terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri untuk membayar gaji pekerja.

“Saya ada seorang pekerja sepenuh masa yang menerima gaji bulanan sebanyak RM2,200. Walaupun tanaman musim ketiga gagal memberikan hasil, gaji pekerja tetap dibayar seperti biasa. Jadi, terpaksalah keluarkan duit simpanan untuk menampung keperluan tersebut, selain digunakan sebagai modal untuk memulakan tanaman musim keempat pula,” katanya kepada S2.

Tidak mahu mengalah dan sentiasa berfikiran positif, katanya, setiap kegagalan yang dialami memberikan pengalaman dan ilmu baharu kepadanya dalam mendalami hal berkaitan tanaman cili fertigasi.

Ditanya sebab tanaman musim ketiga ‘tidak menjadi’, katanya, ia berpunca daripada serangan lalat putih yang luar biasa banyaknya berikutan kerja-kerja pembersihan di sebuah kebun buah yang terletak di sebelah kebunnya.

“Banyak jenis serangga terutama lalat putih dari kebun sebelah tidak lagi boleh mencari ‘makan’ di kebun terbabit kerana semua buah sudah dituai, manakala pokok pula sudah dicabut bagi penyediaan tanah untuk tanaman baru.

“Jadi, serangga terbabit ‘lari’ ke kebun saya untuk mendapatkan makanan dari sumber yang baru. Ketika itu, pokok cili sedang membesar, bak kata orang masih remaja dan tidak kuat menahan serangan penyakit.

“Pelbagai cara dilakukan bagi menangani masalah luar jangka itu. Racun yang digunakan tidak berkesan kerana serangga tersebut sudah kebal. Akhirnya, saya pasrah. Terima hakikat bahawa tananam tidak menjadi untuk musim ketiga ini,” ujarnya.

Menurutnya, musim pertama juga memberikan cabaran kepadanya kerana banyak perkara ‘trial and error’ dilakukan dek kerana kekurangan pengalaman, selain mahu menambah ilmu melalui kerja-kerja lapangan.

Lebih mencabar apabila harga cili merah ketika itu jatuh teruk sehingga RM4.20 sekilogram. Hasil yang dituai ketika itu adalah enam tan dan setelah dihitung, pulangan yang diraih adalah RM24,000 bagi tempoh tiga bulan menuai. Itu belum ditolak segala kos dan upah pekerja.

“Musim kedua lain pula cabarannya. Sepatutnya tempoh menuai selama tiga bulan, tetapi kami hanya sempat menuai selama sebulan sahaja kerana pokok diserang kulat sehingga semua daun gugur. Jadi, buah hanya keluar peringkat pertama sahaja.

“Sungguhpun begitu, harga cili merah pada musim kedua adalah tinggi iaitu RM7 hingga RM9 sekilogram. Disebabkan harga yang ‘cantik’ itu, kami meraih pendapatan sehingga RM41,000,” tambahnya.

Menurutnya, tanaman cili fertigasi ini tidak menjanjikan keuntungan berterusan, sebaliknya ‘permainan’ untung dan rugi adalah silih berganti.

“Rezeki dari Allah. Bersyukur dengan apa yang diberikan-Nya. Namun, kita kena terus berusaha dan berdoa demi kelangsungan hidup,” katanya.