Banyak cerita tentang jerih payah bapa kepada bayi lelaki berusia lapan bulan, Anas Wafiy ini telah dipaparkan kepada masyarakat malah kisah tentang jatuh bangun dan latar belakang dirinya telah dibukukan melalui dua buku bertajuk Takdir itu Anugerah dan Inspirasi Sukur.

Lebih menarik, gambar dan kejayaannya juga diabadikan dalam buku teks bahasa Melayu tingkatan lima di bawah ruangan Dirgahayu Negaraku Tema 5, Semangat Waja selain dalam buku teks Perniagaan tingkatan lima di bawah ruangan Ikon Usahawan.

Mohd. Sukur, 35, berketinggian kira-kira 100 sentimeter yang kini turut dikenali sebagai penceramah motivasi percaya kejayaan dikecapi sekarang adalah berkat doa ibu, Aishah Harun, 65, dan bapa, Ibrahim Samad, 68, dan keluarga serta doa masyarakat untuknya.

“Saya berjaya juga kerana pertolongan masyarakat yang prihatin sekaligus memudahkan urusan harian yang saya lalui dan doa mereka apabila melihat keadaan diri saya,’’ katanya yang berasal dari Kampung Sungai Udang, Melaka.

Pemilik syarikat Dstrike Solution iaitu syarikat yang menawarkan perkhidmatan pemasangan permaidani ini memberitahu, perniagaan yang diceburi sekarang adalah yang keempat setelah ketiga-tiga perniagaan sebelum ini gagal dipertahankan.

Namun kata Mohd. Sukur, kegagalan ketiga-tiga perniagaan itu bukanlah cabaran atau kesusahan yang paling besar dalam kehidupannya kerana dia akan bangkit segera untuk mencari peluang yang lebih baik.

“Kesusahan dan halangan paling besar adalah untuk saya menerima keadaan diri yang cacat. Ini adalah kesukaran yang sangat berat sehinggakan saya pernah merasakan mati itu adalah lebih baik.’’

“Saya tidak nampak masa depan saya dan berpendapat hidup saya akan dihabiskan dengan berkurung dalam rumah, tidak mengenal orang luar dan akan dijaga oleh ibu sehingga saya tua,’’ katanya.

Semuanya berubah apabila dia terpaksa mengikut arahan bapanya yang juga bekas askar supaya menyertai program pemulihan dalam komuniti (JDK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat ketika berusia lima tahun.

“Semasa hari pertama mengikuti program ini baru saya sedar dan terbuka minda bahawa selama ini yang saya fikir sayalah yang paling malang, paling susah, rupa-rupanya ramai kawan saya yang lebih daif, mengalami kekurangan lebih teruk daripada saya. Ada yang tidak boleh berjalan sedangkan saya boleh jalan walaupun kaki pendek, boleh berlari. Ada yang tidak boleh makan sendiri dan terpaksa disuapkan,’’ katanya.

Katanya, tindakan bapanya adalah tepat dan sejak itu dia mengenali potensi diri dengan memberanikan diri menyertai pelbagai persembahan seperti bersajak dan bersyair.

Bermula dari sekolah sehinggalah melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Teknologi Maklumat (IT Mohd. Sukur dianugerahkan rakan-rakan yang mengambil berat tentang dirinya.

“Mereka mempermudahkan urusan harian saya. Ada yang mendukung saya jika saya tidak boleh berjalan cepat untuk ke masjid, menumpangkan saya menaiki motosikal atau kereta untuk ke kuliah atau mengangkat barang,’’ ujarnya.

Kata Sukur, ketika bergaul dengan rakan-rakan inilah dia mempelajari teknik meminta tolong iaitu tidak malu meminta pertolongan jika benar-benar tidak mampu melakukan sesuatu perkara.

“Kalau kita mahukan pertolongan fizikal kita kena tunjukkan muka yang manis, bercakap secara baik, pasti ada yang akan tolong, bukan minta tolong dari segi kewangan tetapi untuk mengangkat barang atau kerja fizikal lain yang kita tidak mampu lakukan dan yang penting kita jangan sombong,’’ katanya.

Selain itu menurutnya, setiap pertolongan yang diterima walaupun tidak diminta balasan perlulah dihargai dengan menjaga hati rakan-rakan dan sekali sekala dia akan menjamu mereka makan.

Tentang cabaran memulakan perniagaan permaidani , dia banyak dibantu oleh isterinya, Wan Nurul Syazwani Mohd Yen, 32, yang ketika itu merupakan rakan niaganya.

“Dia adalah tulang belakang saya sejak memulakan perniagaan bukan sahaja membantu dari segi tenaga tetapi sanggup bersusah payah dengan saya dan kini dia adalah pembantu saya menguruskan perniagaan dan jemputan ceramah yang diterima,’’ katanya yang mendirikan rumah tangga dengan wanita itu pada 2016.

Mohd. Sukur kini turut mengusahakan perniagaan wangian untuk lelaki dan wanita menggunakan jenama `Sukur’ dan akan dilancarkan dalam waktu terdekat ini.

“Produk ini terhasil apabila ramai yang bertanya saya bagaimana untuk berniaga dan apa produk yang boleh mereka jual justeru saya merasakan saya perlu membantu masyarakat dan berkongsi teknik berniaga kepada mereka,’’ katanya.

Dia mengalu-alukan suri rumah atau pelajar mahupun mereka yang ingin menambah pendapatan untuk menjadi ejen atau stokis dan membantu mereka bermula dengan modal yang kecil.

Yang berminat boleh menghubunginya di talian 03-89220799 atau melayari www.d-strikesolution.blogspot.com atau emel kepada [email protected]

Saya berjaya juga kerana pertolongan masyarakat yang prihatin sekaligus memudahkan urusan harian yang saya lalui dan doa mereka apabila melihat keadaan diri saya