Graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari TAJ International College (TIC) ini gemar mempelajari sesuatu yang baharu walaupun mengakui tidak pernah menceburi mana-mana bidang kulinari sebelum ini.

Bersandarkan pada bakat semula jadi, Nur Syuhaida mempelajari sendiri cara membuat kek fondant dengan menghasilkan pelbagai rekaan menarik.

“Setakat ini, saya belum pernah mengikuti mana-mana kelas membuat kek. Cuma, kalau ingin membuat kek fondant, saya hanya melihat contoh-contoh gambar dan cuba menghasilkannya sendiri secara try and error.

“Saya akan cuba menghasilkan rekaan terbaik seperti diingini pelanggan. Buat kek fondant ini ibarat kita bermain dengan permainan ‘play doh’ kerana fondant itu sendiri sudah macam tepung tetapi sebenarnya adalah gula, cuma kita mereka bentuk sahaja,” katanya kepada S2.

Bercerita lebih lanjut, Nur Syuhaida berkata, pengalaman pertama menghasilkan kek fondant ialah sewaktu membuat kek untuk hari jadinya sendiri.

Selepas itu, dia meneruskan minatnya dengan menceburkan diri secara separuh masa dalam perniagaan membuat kek sambil dibantu ibunya, Rosiah Mat Saad ketika menuntut pengajian di kolej.

“Saya memulakan perniagaan membuat kek dengan mempromosikannya di laman sosial melalui singkatan nama ‘scw cakes’.

“Kumpulan sasaran pelanggan, tidak kira bangsa dan pelbagai peringkat umur. Kebanyakannya datang dari kawasan Ipoh, Batu Gajah dan Seri Iskandar kerana saya menghasilkan kek di rumah sendiri iaitu di Seri Kelebang,” katanya.

Selain kek fondant, antara jenis kek yang ditawarkan ialah coklat moist, kek mentega, kek pelangi dan kek lobak merah.

Menurut Nur Syuhaida, antara perkara penting yang ditekankan sebelum mengambil sebarang tempahan daripada pelanggan ialah butiran kek yang jelas termasuk bayaran deposit bagi mengelak dibatalkan pada saat akhir.

“Proses membuat kek adalah seperti biasa, cuma yang mengambil sedikit masa ialah rekaan kek fondant, bergantung kepada kepayahan menghasilkannya.

“Sekiranya rumit, mungkin mengambil masa agak lama, lebih daripada sejam atau dua tiga jam.

“Bahan-bahan asas membuat kek adalah seperti biasa iaitu tepung kek, serbuk coklat, telur, mentega dan gula,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Syuhaida juga tidak lokek berkongsikan tip menghasilkan kek yang sedap.

Katanya, teknik membakar kek yang betul adalah amat penting kerana tidak boleh melebihi masa ditetapkan supaya tidak terlalu kering, selain tidak boleh kerap membuka ketuhar bagi memeriksa kek.

Malahan katanya, untuk menghasilkan kek yang cantik, amat penting mengikut sukatan bahan yang betul tanpa terkurang sedikit pun.

“Kebanyakan pelanggan gemarkan kek coklat moist tetapi mereka juga tidak kisah sangat soal kek, asalkan rekaan kek fondant yang dihasilkan nampak menarik.

“Namun, kek fondant susah juga hendak dikendalikan disebabkan teksturnya. Kek ini tidak boleh terlalu panas atau terlalu sejuk. Jika musim hujan, memang agak susah sedikit disebabkan cuaca yang lembab dan basah,” katanya.

Beliau yang mendapat sokongan ayahnya, Che Wai Abbas, berkata, pelanggan perlu menempah awal kek yang diingini dan tidak menerimanya pada saat akhir.

Mereka yang mahu menempah kek boleh berhubung dengan Nur Syuhaida melalui aplikasi WhatsApp di talian 014-9487505.

Rekaan kek menarik hasil air tangan Nur Syuhaida juga boleh dilihat di laman Instagram scw_cakes dan Facebook scw cakes.