Ketua Pegawai Eksekutif FashionValet, Fadzaruddin Shah Anuar berkata, agenda pemerkasaan bumiputera yang dibawa oleh MaGIC membantunya dan syarikat mengukuhkan kedudukan FashionValet selaku destinasi membeli-belah atas talian.

FashionValet juga terpilih sebagai satu di antara lima syarikat permulaan yang menghadiri program StartUp Asia Jakarta 2014 dengan kerjasama MaGIC.

Menurutnya, ini adalah peluang terbaik bagi beliau mengembangkan operasi syarikat ke Jakarta, Indonesia.

“MaGIC menyediakan platform di mana ia memberikan peluang kepada syarikat baharu yang dibangunkan usahawan Malaysia untuk lebih dikenali di peringkat yang lebih tinggi melalui program-program anjurannya di mana kami dapat berinteraksi dengan pelabur dan pembeli yang berpotensi seterusnya meluaskan rangkaian jaringan perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, dengan peluang yang diberikan oleh MaGIC, FashionValet berhasrat untuk menjadi sebuah hab fesyen yang menghimpunkan pakaian dan aksesori rekaan pereka fesyen dari Asia.

“Justeru, program StartUp Asia Jakarta 2014 bertindak sebagai laluan kami menuju ke arah menjadi hab fesyen atau pusat sehenti bagi pereka fesyen Asia kerana ia memberikan peluang untuk kami mengenal pasti pasaran di sana,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusannya, Vivy Sofinas Yusof berkata, FashionValet juga sedang bercadang membuka sebuah pusat operasi di Indonesia pada tahun hadapan bagi membolehkan sebarang kerja-kerja melibatkan pereka dari negara berkenaan dilakukan dengan mudah dan pantas.

“Ketika ini, 70 peratus daripada jenama di bawah FashionValet terdiri daripada rekaan pereka fesyen tempatan seperti Nurita Harith, Alia Bastamam, Mimpi Kita dan Jovian Mandagie, dan kami turut membawa jenama dari pereka terkenal Indonesia, Thailand, dan Singapura,” katanya.

“Ketika mula-mula mewujudkan bisnes ini empat tahun lalu, saya bergerak bersama kumpulan bagi menemui pereka-pereka fesyen tempatan.

“Pada bulan pertama kami berjaya mengumpulkan seramai 15 pereka tempatan tetapi, waktu itu belum ada pejabat untuk beroperasi. Dalam masa dua bulan menjalankan bisnes ini, saya mengupah empat pekerja tetap termasuk seorang pengurus dan eksekutif operasi untuk melancarkan perjalanan bisnes ini,” kata Vivy.

Mengulas mengenai perancangan FashionValet pada masa hadapan, Fadzarudin Shah berkata, pihaknya dalam perancangan untuk berpindah ke gudang baharu yang mampu menampung permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

“Kami menerima lebih 150 tempahan setiap hari dan jumlah jualan pada tahun ini telah pun melebihi tiga kali ganda berbanding 2013, jadi kami menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat berdasarkan trend pembelian atas talian pada masa ini,” katanya.