Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, ketika ini purata rakyat Malaysia meminum susu segar adalah 19.9 liter setahun berbanding 100 hingga 150 liter setahun rakyat negara Eropah serta Amerika Utara.

''Rakyat di India, New Zealand dan Jepun pula meminum susu segar sebanyak 30 hingga 100 liter setahun.

''Lembaga Tenusu itu akan diterajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama beberapa kementerian lain serta Perbadanan Pembangunan Per­dagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi mengembangkan industri tenusu secara holistik dan bersepadu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja di Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) di sini hari ini.

Beliau diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Pada lawatan kira-kira sejam itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sijil penghargaan kepada ejen atau 'home dealer' terbaik yang menjual rangkaian susu segar jenama Farm Fresh keluaran Holstein.

Selain itu, beliau menyampaikan surat pelantikan kepada enam peladang satelit yang di­pilih Holstein baru-baru ini sebagai kumpulan peserta projek yang pertama.

Kumpulan pertama peladang tersebut menerima geran menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera untuk membantu membangunkan ladang masing-masing.

Menurut Najib, kerajaan menetapkan sasaran rakyat meminum sebanyak 50 liter susu segar setahun pada 2050.

''Jadi, kita perlukan 2,260 bi­lion liter susu daripada 502,000 ekor lembu dalam masa 30 tahun berbanding 21,000 lembu ketika ini," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan akan mewujudkan Lembah Tenusu Muadzam Shah di Muadzam Shah di sini sebagai projek nasional bagi meningkatkan industri tenusu tempatan.

''Saya mahu membudayakan rakyat negara ini terutama kanak-kanak generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50)  meminum susu segar.

''Malah, kita juga akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan penggunaan susu UHT dalam Program Susu 1Malaysia dan diganti susu segar," katanya.