Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kedua-dua platform tersebut bertindak sebagai portal jaringan keusahawanan yang membolehkan lapan juta ahli Angkasa memasuki platform e-dagang dan mendapat akses ke 65 negara di bawah inisiatif Satu Jalur Satu Laluan (OBOR) antaranya Hong Kong, China dan Taiwan

Beliau berkata, kerjasama itu juga membolehkan anggota koperasi khususnya mereka yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan mereka ke negara-negara ASEAN dan Asia Barat.

“Dengan kerjasama antara Sterling Red dan OBOR Net ini mampu memberi impak yang signifikan kepada pembangunan ekonomi koperasi di Malaysia.

“Kedua-dua platform ini dilihat mempunyai sinergi dan kekuatan masing-masing dalam membantu kelangsungan perniagaan koperasi hari ini. Saya yakin produk-produk koperasi akan berjaya menembusi pasaran negara-negara OBOR, ASEAN dan seterusnya ke peringkat global,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian antara Sterling Red dan OBOR Net di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi OBOR Net, Tunku Naquiyuddin Tuanku Jaa’far; Naib Pengerusi OBOR Net, Tunku Mohamed Alauddin Tunku Naquiyuddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan OBOR Net, Nicole Szeto dan Pe­ngarah Urusan Sterling Red, Syed Fuad Al-Kharin.

Maya merupakan portal yang dibangunkan Sterling Red dan myAngkasa Holdings Sdn. Bhd. bagi membolehkan ahli-ahlinya berinteraksi antara satu sama lain, seterusnya memperluaskan jaringan sosial keusahawanan.

ASEAN2U pula merupakan platform perniagaan ke perniagaan ke pengguna (B2B2C) yang menyediakan peluang pertumbuhan perniagaan melalui rangkaian pemasaran dan kewangannya di seluruh negara OBOR.

Sementara itu, Tunku Naquiyuddin dalam ucapannya berkata, kerjasama antara ASEAN2U dan Maya bukan sahaja membuka peluang kepada pertumbuhan transaksi perniagaan malah mampu membantu koperasi di Malaysia berkembang dengan memanfaatkan penggunaan teknologi.

“Ini sekali gus membantu PKS tempatan mentransformasikan perniagaan mereka untuk menjadi lebih moden bagi meningkatkan nilai jenama ke peringkat global,” katanya.