Pengurus Bengkel Zaibar Advanced Service Centre Sdn. Bhd., Asmaddi Jantan berkata, program itu merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Zaibar dalam memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia automotif.

Melalui program itu kata beliau, pelajar-pelajar diberi gambaran sebenar mengenai persiapan yang perlu dilakukan bagi memenuhi permintaan industri selain meningkatkan motivasi mereka untuk menceburi kerjaya dalam bidang automotif.
Dalam sesi pertama program itu yang dikendalikan oleh Mobil 1, pelajar-pelajar diberi penerangan mengenai produk-produk minyak pelincir keluar syarikat itu dan bagaimana ia berfungsi.
Sesi kedua pula yang dikendalikan oleh Asmaddi sendiri memberi pendedahan kepada pelajar mengenai sistem-sistem dalam kejuruteraan automotif seperti sistem nyalaan, bahan api dan sebagainya.
Sesi ketiga diteruskan dengan pendedahan kepada sistem terkini yang digunakan kenderaan khususnya yang terdapat pada jenama Mercedes-Benz dan BMW.

Pelajar-pelajar kemudiaannya dibawa melawat pusat jualan Zaibar Automobile Industries Sdn. Bhd. dan pusat servis kenderaan Zaibar Advanced Service Centre Sdn. Bhd.
Program latihan sambil belajar anjuran Kumpulan Zaibar sebelum ini turut melibatkan pelajar-pelajar dari Kolej Vokasional Port Dickson dan Kolej Vokasional Sepang.
Sementara itu, Guru Automotif Kolej Vokasional Kajang, Haszarul Hazreen Hisyam A. Samad yang mengiringi pelajar-pelajar berkenaan berkata, inisiatif yang dilakukan Kumpulan Zaibar itu perlu dicontohi syarikat-syarikat lain khususnya yang terlibat dalam bidang automotif.

Hal tersebut katanya, bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar vokasional lain yang terdapat di seluruh negara untuk mendapat pendedahan sama mengenai industri automotif.