Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KUD 2017 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu mampu dijadikan sebagai platform terbaik bagi meluaskan pasaran produk luar bandar ke tahap yang lebih tinggi termasuk dieksport ke luar negara.

Katanya, karnival bertemakan ‘Usahawan Desa Produk Global’ itu mampu mewujudkan jaringan pasaran lebih luas menerusi platform Trade Day iaitu jaringan perniagaan di antara pihak industri bersama pasar raya besar, pengeluar, pembeli dan usahawan desa.

“Kita menggiatkan kempen produk baharu serta penjenamaan produk luar bandar supaya dapat bersaing dengan produk import. Selain itu, akti­viti perniagaan ke perniagaan (B2B) diberi tumpuan khusus bagi membantu usahawan terlibat memperoleh sekurang-kurang­nya tiga jaringan perniagaan dan tidak hanya tertumpu pada hasil jualan semata-mata.

“Oleh itu, KUD 2017 ini merupakan platform jaringan perniagaan terbaik untuk dikembangkan termasuk menerusi kempen ‘pemasaran jalanan’ yang lebih praktikal untuk usahawan luar bandar bersemuka dengan pengguna secara terus lebih-lebih lagi mereka tidak mempunyai bajet banyak bagi tujuan pemasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Prapelancaran KUD 2017 di pekarangan Sri Pentas, Bandar Utama di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian, Datuk Azizan Muhammad Sidin.

KUD 2017 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Oktober ini di Dewan Merdeka PWTC.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, lebih 700 usahawan luar bandar dalam pelbagai bidang perniagaan seperti makanan, pro­duk pertanian, gaya hidup dan kesihatan serta kecantikan akan terlibat dalam KUD 2017.

Menurutnya, usahawan terlibat juga berpeluang menyertai pelbagai program seperti sesi padanan perniagaan dan tetamu jemputan seperti ikon perniagaan, selebriti dan usahawan muda.