Namun, itulah pengorbanan yang dilakukan oleh Norhanim Ahmad, 40, dari Gombak dekat sini apabila terpaksa melepaskan segala kesenangan tersebut bagi memberi perhatian 'istimewa’ kepada suaminya, Mohd. Jazmi Napiah, 47, yang disahkan menghidap sejenis penyakit yang mengganggu fungsi otaknya sehingga tidak mampu bergerak.

Keputusan nekad itu ternyata mengubah hampir 100 peratus kehidupan Norhanim yang satu ketika dahulu mampu memegang wang ribuan ringgit hasil gaji bulanan sebagai seorang pegawai sumber manusia di sebuah syarikat pembinaan.

“Sebelum ini saya ada kerjaya sendiri dan suami pula seorang ahli perniagaan, tetapi kehidupan kami sekeluarga diuji apabila suami jatuh sakit dan saya memilih untuk berhenti kerja demi menjaganya.

“Lebih menyedihkan, perniagaan suami turut musnah apabila orang-orang yang kami percayai mengambil kesempatan di atas keadaan kami dan ini menjadi satu dugaan cukup besar buat saya dan suami,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata berusia 21 dan 11 tahun itu, dia sekali lagi diuji apabila anak bongsunya menghidap disleksia menyebabkannya menghadapi masalah dalam pembelajaran dan turut memerlukan perhatian.

Jelas Norhanim, kehidupannya sekeluarga semakin terhimpit gara-gara ditipu oleh pihak yang mengambil kesempatan di atas keperitan mereka.

“Pada waktu itu saya memang hilang punca dan tidak tahu di mana hendak mencari sumber kewangan. Ini kerana, semua simpanan telah dibelanjakan untuk rawatan suami.

“Sehinggalah suatu hari ada rakan yang datang ke rumah dan mencadangkan menghasilkan produk berasaskan rempah. Dengan bermodalkan RM45 yang diberi oleh rakan saya itu, saya ambil keputusan cuba menghasilkan perencah lada hitam dan rakan-rakan pula membantu menjual produk itu di tempat kerja masing-masing,” katanya.

Kongsinya lagi, bermula secara kecil-kecilan, perniagaan perencah lada hitamnya semakin mendapat permintaan dan mendorongnya untuk memohon bantuan daripada pihak Baitulmal-MAIWP untuk mengembangkan perniagaan tersebut.

“Pihak Baitulmal-MAIWP melihat potensi produk saya dan membantu dengan memberikan modal permulaan berjumlah RM3,000 serta beberapa bantuan lain.

“Berkat bantuan itu saya berjaya memperluaskan perniagaan dan kini mempunyai ejen sendiri untuk memasarkan produk selain membekalkan produk ke restoran-restoran sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain,” katanya.

Kata Norhanim lagi, sehingga kini dia berjaya memperoleh pendapatan bersih antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan dan angka itu meningkat apabila tiba musim perayaan dan majlis perkahwinan.

Hasil usaha gigih dan bantuan yang diterima, Norhanim yang menjadi usahawanjaya Baitulmal-MAIWP kini giat membantu golongan asnaf lain untuk sama-sama menjadi usahawan selain turut menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar zakat.

“Alhamdulillah, berkat rezeki bantuan yang diterima dahulu, perniagaan saya menjadi lebih kukuh dan produk juga semakin bertambah. Saya turut memasarkan produk lain seperti kek keju segera. Keadaan suami juga semakin baik dan kehidupan kami banyak berubah.

“Lebih membanggakan, saya juga berjaya mendapat pengiktirafan MAIWP sebagai Tokoh Asnaf bersempena Majlis Semarak Syawal Bersama Asnaf Baitulmal-MAIWP pada Julai tahun lalu,” katanya yang kini dalam proses membuka sebuah kedai.

Jelas Norhanim, dia amat bersyukur kerana dengan bantuan Baitulmal-MAIWP, impiannya men­jadi usahawan berjaya tercapai.