Katanya, usaha me­ngembangkan perniagaan tersebut tercetus kerana ibu saudaranya yang turut mengusahakan kedai kek sering memberi galakan kepadanya supaya mengembangkan jualan kek yang diusahakan dari rumah kepada kedai.

“Saya buat kek sejak tahun 2004 lagi. Pada mulanya, saya hanya menerima tempahan dari rumah sahaja. Namun, atas dorongan makcik saya yang menggalakkan saya supaya mengembangkan perniagaan jual kek, barulah tercetus idea untuk membuka kedai kek sendiri.

“Kedai pertama dibuka di Tandop, Alor Setar, Kedah. Kemudian, saya buka kedai kedua di Taman Bukit Indah, Ampang selepas sepupu saya maklumkan tidak banyak kedai kek milik orang Islam di sana.

“Saya terus mengorak langkah dengan membuka kedai ketiga di Bulatan Teluk Wanjah, Alor Setar,” katanya kepada S2.

Mengusahakan tiga buah kedai bukanlah sesuatu yang mudah namun, Jufina mempunyai prinsip sendiri untuk terus maju dalam perniagaan tersebut.

“Berniaga bukanlah mudah. Banyak kesulitan dan cabaran yang perlu ditempuh. Malah tidak dinafikan kesukaran yang terpaksa dihadapi lebih besar daripada kerja makan gaji. Banyak perkara, reaksi dan maklum balas daripada pelanggan menjadi cabaran terbesar kepada saya. Ada komen yang positif dan ada juga komen negatif yang menjatuhkan.

“Apapun dalam berniaga, saya sentiasa berpegang kepada kerja keras dan fokus terhadap setiap apa yang dilakukan. Dalam menghasilkan sesuatu produk, menjaga kualiti sangatlah penting. Saya perlu sentiasa istiqamah dan berdoa untuk kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Katanya, dia kini lebih memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perusahaan kedai kek miliknya di Bulatan Teluk Wanjah memandangkan kedai itu baru setahun beroperasi.

“Lagipun saya berasal dari daerah ini. Bezanya kedai kek di sini, saya gabungkan konsep kafe.

“Tidak hanya menjual kek, kami turut menawarkan menu istimewa yang lain. Tiga hidangan ‘wajib’ yang ada setiap hari adalah mi kari, laksa dan soto. Untuk menu ‘Today Special’ pula, setiap hari akan ada hidangan yang berbeza. Contohnya pada hari Ahad, kami akan menawarkan menu nasi ayam penyet dan pada hari Isnin pula, ada menu nasi tomato.

“Kami juga menyediakan pelbagai jenis roti khusus untuk sarapan dan minum petang,”tambahnya.

Bercerita mengenai keistimewaan kek yang diusahakannya, menurutnya kek yang dihasilkannya tidak menggunakan bahan pengawet bagi menjadikan kek tahan lama.

“Setiap kek dan roti yang kami hasilkan tidak dicampur dengan bahan pengawet. Disebabkan itu, kek berasaskan keju hanya mampu bertahan selama 14 hari, sementara kek jenis lain bertahan selama 21 hari. Moist brownies pula boleh tahan sehingga 14 hari dan brownies biasa, tahan tujuh hari,” katanya.

Katanya, dia banyak mengikuti perkembangan resipi kek yang tular di laman sosial, sekali gus memberinya idea untuk mempelajari dan menghasilkan kek yang menjadi kegemaran ramai.

“Saya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kulinari. Namun, sejak kecil lagi, saya banyak belajar buat kek daripada emak dan makcik. Saya juga mengikuti pelbagai kursus, selain belajar mengikut resipi kek yang tular di internet.

“Apa yang menjadi fenomena ketika itu, maka itulah resipi kek yang akan saya pelajari,” katanya.