Titik permulaan itu bukan sahaja merubah kehidupan Juanita, 41, yang berasal dari Senawang, Negeri Sembilan dan pasangannya, Zulhanizat Zakaria, 36. Malah ia turut 'membuka jalan' bagi pasangan tersebut untuk menceburi dunia perniagaan.

Sebelum itu, pasangan suami isteri itu sudah berhasrat untuk memulakan perniagaan, namun persoalan utama timbul setiap kali membincangkan perkara tersebut iaitu apa yang boleh dijual bagi menjana pendapatan.

Setiap kali berbincang, ia seringkali berakhir dengan jalan buntu.

Oleh kerana itu, Zulhanizat terpaksa bekerja sebagai jurujual kereta di Alor Setar, Kedah. Ketika itu, keluarga mereka sering ‘ikat perut’ pada setiap bulan kerana komisen jualan kereta tidak dapat menampung kos sara hidup.

Ketika itu juga, hanya suami seorang bekerja mencari sumber pendapatan, manakala Juanita menguruskan keluarga serta anak-anak dengan menjadi suri rumah sepenuh masa sejak berkahwin.

Namun, di sebalik keadaan yang serba kekurangan itu, Juanita tidak pernah mengabaikan kesihatan serta kecantikan dengan mengamalkan herba yang dipelajari daripada ibu dan neneknya.

Kandungan herba yang diwarisi turun-temurun dimuatkan di dalam kapsul mengikut petua warisan untuk menghasilkan produk jualannya Herba Juanita khas untuk golongan wanita berkeluarga yang mengutamakan kesihatan.

Titik permulaan baginya bermula apabila dia berkongsi tip kecantikan dan penjagaan kewanitaan dalam laman sosial Facebook atas dasar suka-suka tetapi mendapat maklum balas yang sangat memberangsangkan.

“Saya cuma berkongsi aturan makanan dan herba yang saya amalkan, tetapi saya tidak jangka begitu ramai berminat sehingga ada yang sanggup bayar hanya untuk dapatkan apa yang saya amalkan,” katanya.

Menurutnya, meskipun agak kekok menggunakan laman sosial pada awalnya, namun dia tidak menyangka perkongsian itu turut dikongsi beberapa kenalannya. Dalam masa sama, kenalan turut bertanyakan cara bagi mendapatkan makanan kesihatan yang diamalkannya.

“Saya bagi herba ini kepada kawan-kawan rapat. Tak sangka pula ia terus berkembang. Permintaan semakin meningkat sehingga saya tidak menang tangan untuk menguruskan tempahan. Justeru, saya ajak suami untuk sama-sama berusaha menjadikannya satu perniagaan,”jelasnya.

Tambahnya, dia kini boleh menghela nafas lega apabila perniagaan yang diusahakan sepenuh masa bersama suaminya kini sudah mempunyai 19 stokis dan 450 ejen di seluruh negara termasuk Brunei.

“Bukan mudah untuk mengekalkan bisnes dan menjamin kualiti agar sentiasa diterima ramai. Jadi, saya sering menambah baik mutu perkhidmatan dengan mendapatkan maklum balas daripada agen serta nasihat daripada orang berpengalaman,” katanya.

Dalam pada itu, Juanita memberitahu, setakat ini, tumpuan menyeluruh akan terus diberikan untuk meningkatkan jumlah tempahan dan keyakinan pelanggan terhadap produknya di samping meneroka cabang perniagaan baharu.

“Kami ada perancangan membuka sebuah agensi pelancongan, tetapi biarlah Juanz World betul-betul kukuh terlebih dahulu, baru kami fikirkan cabang lain pula,” ujarnya.