Menurutnya, dia memulakan perniagaan setelah koleksi barangan antik yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook menarik perhatian ramai pengikutnya.

“Mengumpul barangan antik merupakan minat saya dari awal lagi. Sepanjang menetap di England, saya mencari peluang mengumpul barangan antik buatan tempatan untuk dijadikan koleksi peribadi.

“Minat itu kemudian dikongsi bersama rakan-rakan di laman Facebook. Rata-rata mereka memberi maklum balas yang amat menggalakkan. Sejak itu, saya mula menerima tempahan. Alhamdulillah, pelanggan yang membelinya berpuas hati dengan kualiti barangan antik yang ditawarkan,” katanya.

Menurut peniaga berasal dari Kota Bharu, Kelantan yang kini menetap di United Kingdom (UK) itu, dia memilih barangan antik buatan England memandangkan barangan tersebut dihasilkan dari bahan berkualiti dan menggunakan khidmat kepakaran yang tinggi.

“Antara barangan yang mendapat permintaan tinggi termasuklah jam meja, mesin jahit, basikal antik, gramaphone dan radio,” katanya.

Setiap perniagaan sudah pasti ada cabaran dan kesukaran yang akan dihadapi.

Baginya, lokasi jauh merupakan antara cabaran sering dihadapinya untuk mendapatkan barangan antik yang diinginkan.

Ada kalanya, dia terpaksa menempuh perjalanan sehingga 600 kilometer.

“Saya juga terpaksa bersaing dengan warga tempatan untuk mendapatkan barang yang dikehendaki. Justeru, persaingan harga tidak dapat dielakkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, terdapat dua elemen penting yang menentukan kualiti sesuatu barang antik.

“Yang pertama, sudah tentu keadaan fizikal barangan yang masih elok. Biasanya, peminat antik mahukan barang yang hampir sempurna walaupun usianya sudah melebihi setengah abad.

“Jangan terkejut kalau kita boleh jumpa barang yang masih dalam keadaan baik walaupun sudah melebihi satu abad. Yang kedua, barang tersebut harus dalam keadaan bentuk asalnya.

“Jarang berlaku pengumpul tegar barangan antik mahu beli barangan yang sudah diperbaiki terutama menggunakan alat ganti yang baharu. Jadi, dalam menentukan kualiti sesuatu produk, ia bergantung kepada kesempurnaan dan keasliannya,” katanya.

Tambahnya, barang antik mempunyai nilai sentimental tersendiri dan setiap satu mempunyai nilai berbeza antara individu.

Katanya, untuk menentukan harga, ia bergantung setakat mana nilai sentimental barang tersebut kepada pemiliknya.

“Semua barang antik diklasifikasikan sebagai rare dan selalu menjadi buruan peminat. Sebut apa sahaja jenis barang, kalau memiliki keunikan dan bukan mass produce zaman itu, secara langsung ia akan jadi ‘buruan’ pada zaman ini.

“Barangan yang dibuat dalam kuantiti terhad ketika zamannya dan melibatkan peperangan merupakan koleksi yang sukar dicari. Hal ini memandangkan kebanyakan barangan tersebut telah musnah.

“Namun, sekiranya ada yang terselamat dari kemusnahan, ia mungkin dalam keadaan tidak sempurna sepenuhnya. Justeru, barangan yang wujud ketika waktu perang dan masih dalam keadaan sempurna, nilainya agak mahal daripada lain,” katanya.

Barangan antik juga lebih mahal mengikut usia. Sebagai contoh barangan antik ketika zaman pemerintahan Ratu Victoria pada asasnya lebih mahal daripada barangan ketika era Ratu Elizabeth II.

Namun, perbandingan usia hanya boleh dibuat untuk barangan berada dalam kelas yang sama sahaja.

“Kita tidak boleh membandingkan barangan yang dihasilkan secara besar-besaran pada era Ratu Victoria dengan barangan edisi terhad ketika zaman Ratu Elizabeth. Bak kata orang, perbandingan epal harus dibuat dengan epal,” katanya.

Menyentuh tentang soal penjagaan menurutnya, ia terpulang kepada pendekatan dan cara masing-masing.

Ada orang menghilangkan karat pada keris dengan menyapu limau pada keris tersebut, namun, ada juga kaedah rendam di dalam air nasi atau menggunakan cuka.

Tidak dapat ditentukan cara yang mana lebih bagus. Walau apa cara sekalipun, peminat barangan antik sudah pasti mempunyai cara tersendiri untuk menjaga barangan kesayangan mereka.