Sudah tentu mereka ini menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak muda yang baharu ingin bermula. Tapi ada beberapa penghalang yang membuatkan perniagaan mereka terbantut ataupun tidak menjadi. Semuanya kerana mereka tidak mempunyai pemikiran yang tetap dan matlamat perniagaan yang betul.

Mereka cuma membuat perniagaan ikut trend atau tiada tujuan yang kuat untuk mereka teruskan perniagaan hingga habis ke penghujungnya. Apa yang boleh saya kongsikan ialah semuanya dipengaruhi dengan permainan minda dan kata-kata orang di sekeliling yang selalu menjatuhkan kita.

l Kurangkan berfikir perkara yang tidak sepatutnya

Terlalu banyak berfikir akan membuatkan kita terus tersekat atau terhenti untuk membuat keputusan yang tepat, sedang­kan untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya perlu mempunyai kekuatan dalam membuat keputusan yang cepat dan tepat supaya orang tidak tertunggu-tunggu dengan apa yang akan kita laksanakan.

Kebanyakan mereka yang baru hendak bermula, mereka terlalu memikirkan banyak perkara. Contohnya, bagaimana hendak menjual, apa hendak dibuat bila tiada pelanggan, apa jadi jika produk ini tidak laku, mengira keuntungan terlalu awal, untung yang terlalu sedikit, mahu kaya cepat dan sebagainya.

Ini lagi satu masalah dalam minda orang yang baru hendak memulakan perniagaan. Belum pun bermula, sudah fikir bila nak kaya.

l Pentingnya sokongan daripada pertalian terdekat

Perniagaan adalah satu pro­ses dan perlu mengambil masa untuk membesar. Bukan hari ini mula berniaga, esok sudah jadi kaya. Semuanya bermain de­ngan ketetapan pemikiran dan mentaliti. Ada pula situasi yang mana, bila anak-anak mahu mulakan perniagaan, ibu bapa tidak memberi sokongan. Ibu bapa yang memberitahu berniaga ini rugi, berjual ini susah, berjaja ini banyak risiko dan macam-macam lagi.

Anak itu sendiri yang bersungguh-sungguh mahu memulakan perniagaan, akhirnya kecewa dan putus asa. Anak itu ingin mencuba sesuatu yang baharu, yang boleh memberikan pengalaman kepada mereka, tetapi bila keluarga sendiri yang mengatakan yang buruk, ia menjatuhkan semangat untuk mula berniaga.

l Berniaga bukan sesuatu yang mudah

Mereka berfikir berniaga itu mudah sedangkan banyak risikonya. Ramai yang baru bermula menganggap dan mengambil mudah terhadap sesuatu perniagaan yang dijalankan. Diibaratkan berniaga seperti orang yang tidak tahu berenang tetapi dengan yakin dan penuh bersemangat cuba terjun ke dalam sungai.

Cuba fikir apa yang akan terjadi kepada orang itu? Lemas ataupun tidak? Sudah pasti orang itu akan mati lemas kalau tiada yang datang menyelamatkannya.

Begitu juga dengan perniagaan dan perjalanan sebagai seorang usahawan. Jika orang yang tidak tahu berenang itu diajar untuk berenang dan ada orang yang akan menjaganya, sudah pasti mereka akan selamat.

l Kenapa perlu ego jika mahu berjaya?

Berniaga perlukan guru yang akan menunjukkan kita jalan yang betul. Ramai yang saya lihat apabila mahu berniaga, mereka ego untuk belajar, ego untuk bertanya, ego untuk berjumpa dengan orang yang terbukti sudah berjaya.

Hakikatnya, untuk berniaga perlu mengurangkan ego dan skeptikal terhadap orang lain. Ini adalah kerana kita tidak kenal dengan siapa kita bertanya, kita tidak kenal dengan siapa kita berguru, kita tidak kenal dengan sesiapa pun. Malah orang yang mengajar kita pun tak akan kenal kita siapa.

l Sentiasa positifkan minda

Pemikiran kita dalam perniagaan perlu dijaga supaya tidak mudah untuk beralih arah, perasaan dan matlamat. Jika kita seorang usahawan apa yang perlu kita ada ialah sentiasa positif dengan perkara-perkara menarik. Kita perlu mengikuti perkembangan mereka yang telah berjaya supaya kita boleh berjaya sama seperti mereka.

Kita perlu sentiasa bersyukur kerana setiap hari ada perubahan yang lebih baik berlaku dalam hidup dan yang terakhir adalah kita mempunyai sebab ataupun impian yang besar supaya kita terus berniaga untuk dapatkan kebebasan masa, kebebasan wang dan membantu lebih ramai lagi untuk berjaya.

MOHD. SHAFIQ ABD. LATIF adalah pelajar Tahun 3 Bacelor Sains Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia.