Memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, Hilda Rosli tidak menganggap peranan sebagai ibu dan isteri membataskannya melakukan perniagaan walaupun hanya dari rumah.

Bermula sebagai peniaga kain dan pakaian, wanita kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini mempelbagaikan jualan kepada produk kecantikan seiring permintaan masyarakat terutama wanita bekerjaya.

Hilda berkata, kebanyakan rakannya yang bekerja lebih gemar melakukan pembelian menerusi dalam talian kerana kekangan masa untuk ke kedai.

Menceritakan bagaimana dia mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan dalam talian, pemegang Diploma Multimedia ini berkata, segalanya bermula dengan minat dan keinginan mahu mencuba.

“Pada mulanya, saya menjual kain dan pakaian pada 2013 menerusi Facebook, selain turut pergi ke bangunan pejabat berhampiran untuk mempromosikan barang jualan.

“Selepas melihat industri kecantikan semakin mendapat sambutan, saya beralih kepada produk penjagaan kulit. Ini kerana saya melihat permintaan produk itu sangat memberangsangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Senawang baru-baru ini.

Mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sepenuh masa pada 2014, Hilda menceburkan diri secara aktif sebagai pengedar produk penjagaan kulit jenama Nafura dan Charms Skincare yang dijual secara dalam talian.

Pada mulanya, modal permulaan yang dilaburkan hanya RM300, namun Hilda memanfaatkan media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk menjual serta meraih pelanggan.

Hilda berkata, idea untuk menjual secara dalam talian timbul selepas melihat platform media sosial boleh menjadi medium terbaik untuk memasarkan barangan kecantikan. Menerusi promosi dalam talian, dia kini mampu meraih pulangan lumayan pada setiap bulan, hasil jualan produk yang dipasarkan.

“Saya mempunyai laman Facebook dan Instagram sendiri untuk menjual produk seperti ‘Like a Boss by Hilda’ menggunakan kaedah pembelian mudah melalui tunai semasa penghantaran (COD) di sekitar Seremban atau kiriman pos.

“Jualan secara dalam talian pula melibatkan pelanggan dari seluruh negara dan saya dapati ramai pelanggan menyukai kaedah tersebut kerana lebih mudah dan tidak perlu ke kedai,” katanya.

Melihat sambutan positif daripada pelanggan dan mudahnya berniaga secara dalam talian, Hilda mengambil keputusan untuk memperbanyakkan lagi rangkaian produk dengan menjadi pengedar beberapa barangan kosmetik tempatan lain, antaranya Ferra Rossa dan Fame.

Di samping itu, ‘Like a Boss by Hilda’ turut menjadi pengedar kepada 18 jenis lagi rangkaian produk penjagaan kulit dan kosmetik tempatan.

“Saya mahu menjadikan ‘Like a Boss by Hilda’ sebagai hab rangkaian produk penjagaan kulit dan kosmetik tempatan sekali gus memberi kemudahan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan tersebut,” katanya.

Tidak hanya mahu memasarkan produk sedia ada, ibu kepada dua cahaya mata ini turut mengambil inisiatif untuk mengembangkan perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan solekan. Minatnya terhadap dunia penjagaan kulit dan kosmetik telah mendorongnya untuk mengikuti kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua bagi program solekan artis.

Kini, selain produk penjagaan kulit dan solekan, Hilda turut menawarkan khidmat solekan dan tatarias kepada pelanggan bagi majlis makan malam, pertunangan dan sebagainya.