Jalinan Inovasi berdepan ma­salah pelaburan untuk meneruskan operasi sekitar 2002. Disebabkan itu, Datuk A. Sani yang juga suami kepada Hamida bersetuju mengambil alih operasi sebagai pengerusi syarikat dan meneruskannya sehingga ke hari ini.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menceburkan diri dalam bidang ini walaupun gemar memasak pelbagai jenis juadah. Saya belajar ilmu perniagaan daripada suami memandangkan beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan memiliki syarikat konsultan kejuruteraan.

“Pada peringkat awal, kos untuk memulakan perniagaan tidak terlalu besar kerana telah memiliki semua kelengkapan seperti pera­latan dan mesin. Selain itu, Deligateaux memiliki barisan chef yang bagus dan pelbagai resipi terbaik. Saya hanya menyambung apa yang telah diusahakan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Deligateaux menambah produk baharu pada 2008 apabila memperkenalkan kek buah. Selain itu, strategi perniagaan turut berubah dengan menghantar produk-produk ke pasar raya besar se­perti Tesco dan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) berbanding kedai-kedai kecil.

Cabaran utama adalah memastikan produk keluaran Deligateaux sentiasa mendapat permintaan kerana kek dan konfeksi merupakan makanan tambahan. Bagi mencapai matlamat itu, Deligateaux memperkenalkan jenama Dejavuu untuk segmen generasi milenial.

“Syarikat kami mempunyai dua jenama iaitu Deligateaux dan Dejavuu, masing-masing dikhususkan untuk orang muda dan dewasa. Untuk menembusi pasaran orang muda memerlukan strategi yang berlainan kerana keinginan dan cita rasa mereka berbeza berbanding individu berumur 30 tahun ke atas,” katanya.

Seiring dengan perkembangan e-dagang, Deligateaux turut melancarkan laman web e-dagang iaitu www.dejavuu.my pada November 2018 dengan pilihan lebih daripada 40 jenis unit menyimpan stok (SKU).

Bagaimanapun, penghantaran hanya tertumpu di sekitar Lembah Klang memandangkan kesukaran menghantar produk sejuk beku untuk jarak jauh.

“Pada Mac atau April ini kami akan memperkenalkan sistem stokis yang menyediakan pelbagai insentif atau ganjaran kepada mereka. Kami kini dalam fasa pengenalan produk dengan memperhebatkan kempen pemasaran di media sosial,” ujarnya yang me­rupakan bekas penjawat awam.

Deligateaux turut menghasilkan produk untuk pihak ketiga seperti Mydin dan Ramly Food Processing Sdn. Bhd. (Ramly). Sebahagian besar perolehan Deligateaux disumbangkan oleh pengeluaran produk asal (OEM) dengan nisbah 60:40.

“Ramly merupakan pelanggan OEM kami yang terbesar dengan jualan syarikat itu sahaja dapat me­ngatasi jumlah jualan yang dibuat oleh Mydin di seluruh negara. Pada masa hadapan, kami merancang mengurangkan nisbah perolehan kepada 50:50 menerusi penerokaan pasaran luar negara,” katanya.

Mengenai perancangan eks­port, Pengurus Besar Deligateaux yang juga anak kepada Hamida, Maisarah A. Sani berkata, pihaknya akan mengeksport produk ke China untuk meme­nu­hi permintaan sempena sam­butan Tahun Baharu Cina.

“Setelah tiga atau empat tahun mencuba baru dapat menembusi pasaran China. Setiap produk yang dibawa ke sana memang mendapat sambutan, namun untuk mencari pembeli yang berpotensi agak sukar.

“Brunei dan Bangladesh turut menunjukkan minat untuk mendapatkan produk kami. Produk pastri dan konfeksi di Malaysia diakui berkualiti oleh kebanyakan negara serantau walaupun harganya sedikit mahal berbanding Thailand dan Indonesia,” jelasnya.

Deligateaux memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) yang memberi nilai tambah kepada perniagaannya. Sijil-sijil tersebut memberi keyakinan kepada pelanggan selain diterima di pasaran global.

Kejayaan Deligateaux turut dibantu menerusi pelbagai bentuk bantuan bagi meningkatkan kecekapan dan melancarkan operasi perniagaan. SIRIM Berhad baru-baru memberi bantuan sebanyak RM190,000 untuk pembelian mesin di mana kapasiti pengeluaran dapat ditingkatkan sebanyak tiga kali ganda sebulan.

Selain itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp.) turut memberi bantuan kepada Deligateaux.