Muhammad Pauzi Edi, 24, merupakan antara usahawan muda yang tidak terkecuali merasai pahit getir menjual produk. Memiliki produk jenama sendiri bukanlah semudah disangka. Dia bermula dari bawah dan perlahan-lahan melangkah menuju ke peringkat seterusnya.

Katanya, sebaik sahaja menamatkan sesi persekolahan, dia bekerja dengan seorang pengusaha kosmetik. Tiga bulan selepas itu, Muhammad Pauzi mengambil keputusan berhenti kerja dan beralih menjadi ejen dropship (pesan hantar) produk kosmetik.

Setelah beberapa tahun memperoleh pengalaman menjual produk orang lain dan mengetahui sedikit demi sedikit selok belok perniagaan, dia berazam untuk memiliki produk jenama sendiri.

Berbekalkan modal RM10,000 hasil pendapatan yang disimpan, dia akhirnya mengeluarkan produk Gellutt Aroma Losyen berasaskan bahan semula jadi seperti minyak kelapa dara, minyak zaitun, daun pudina, pati gamat dan halia bara.

Pada peringkat awal, dia hanya mempromosikan produknya kepada rakan-rakan terdekat. Selepas mendapat maklum balas positif daripada rakan-rakannya, barulah berani memasarkannya secara meluas.

“Sambutan agak menggalakkan dan ramai yang membeli produk ini kerana keistimewaannya yang tidak melekit bila disapu pada kulit dan cepat menyerap.

“Berlainan dengan produk lain yang berminyak dan mempunyai bau yang agak kurang menyenangkan, Gellutt Aroma mempunyai aroma tersendiri dan memberi rasa nyaman kepada mereka yang menggunakannya.

“Pengguna dari pelbagai umur boleh memakainya mengikut keselesaan masing-masing. Selain itu, produk ini juga dapat melicinkan kulit terutama di bahagian tumit kaki yang mengalami masalah kerekahan dan terlalu kering,” katanya.

Bercerita tentang cabaran yang dilalui sepanjang berniaga menurutnya, dia pernah menghadapi masalah tiada modal pusingan sehingga terpaksa menghentikan seketika pengeluaran produk akibat tidak pandai menguruskan kewangan.

“Terjejas juga seketika. Disebabkan tidak tahu bagaimana hendak rolling balik keuntungan untuk dijadikan modal, pengeluaran produk terhenti sementara waktu.

“Masalah lain juga timbul seperti pelanggan lambat melunaskan bayaran atau tidak membayar langsung. Jadi, masalah sebegini menjejaskan perniagaan saya,” katanya.

Mujur berkat sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan, dia akhirnya bangkit memperbaiki segala kelemahan dan mengeluarkan semula produknya.

Kini, produk berasaskan rahsia turun-temurun keluarganya itu berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

“Kami mempunyai ejen atau stokis di seluruh negara termasuk negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

“Namun, kami masih membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen dan stokis. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi kami di talian 017 6615464. Kami juga mempunyai laman web www.gelluttaroma.my dan Instagram gelluttaroma_warisanediharun,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pemain futsal pasukan Puchong Fuerza, Muhammad Nazrin Zulgafli, 28, merupakan antara pengguna setia yang sentiasa menjadikan Gellutt Aroma sebagai produk yang wajib dibawa ke mana-mana terutama ketika bermain futsal.

Sebagai seorang atlet, dia mengakui sentiasa menggunakan produk itu setiap kali mengalami masalah lutut dan pergelangan kaki terseliuh.

“Minyak angin atau krim losen yang lain, biasanya mempunyai tekstur yang berminyak dan rasa melekit bila disapu pada kulit namun, tidak pada losen Gellutt Aroma. Ayah saya juga gemar menggunakannya, tambahan lagi ketika melakukan solat atau ibadah.” katanya.