Sebagai inisiatif, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah melaksanakan usaha berterusan menyahut seruan kerajaan untuk menjalankan penyelidikan dan menyediakan kepakaran serta fasiliti dalam mengenal pasti potensi ubatan tumbuh-tumbuhan khususnya herba, sekali gus mengkomersialkan bahan mentah bernilai tinggi itu.

Seminar Tumbuhan Ubatan dan Beraroma Ke-14 yang dianjurkan FRIM baru-baru ini merupakan salah satu platform bagi saintis, pengusaha dan pihak industri serta peserta untuk berkongsi maklumat terkini dalam bidang hasilan semula jadi.

Bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Program Teknousahawan FRIM-Mara merupakan usaha sama bagi membantu industri herba meningkatkan mutu poduk yang dihasilkan usahawan tempatan.

Menerusi penganjuran seminar berkenaan, usahawan-usahawan bawah Program Teknousahawan FRIM-Mara turut mengambil peluang untuk mengkomersialkan produk-produk mereka selain menjadi contoh dalam melahirkan lebih ramai usahawan herba dengan produk yang berkualiti dan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Salah sebuah syarikat usahawan bawah program itu yang dikenali sebagai antara syarikat pengusaha produk herba sejak tahun 1972, Syarikat Zulkifli Bamadhaj dengan rangkaian jenama Petani optimis mengahsilkan inovasi minuman berasaskan herba dan yakin produk berkenaan mendapat tempat di hati rakyat Malaysia,

“Pihak kami gembira dengan sambutan pelanggan selepas beberapa produk minuman jenama Petani mendapat tempat misalnya seperti produk Sarbat Tea, sejenis minuman teh dengan campuran halia.

“Selain itu, pihak kami sedang menjalankan penyelidikan untuk mengeluarkan beberapa rangkaian minuman berasaskan herba seperti buah delima,” jelas Pengarah Urusan Syarikat Zulkifli Bamadhaj Sdn. Bhd., Suhana Mislan

Syarikat yang diterajui Bumiputera ini sedang meneroka potensi lain untuk mengembangkan bidang minuman berasaskan herba apabila cabang ini diteroka sejak lebih sembilan tahun lalu.

Sebanyak lebih 40 produk telah dikeluarkan untuk memenuhi permintaan pengguna.

Walaupun sudah lebih 30 tahun berada dalam pasaran, Salina akui pelbagai cabaran dihadapi ramai pengusaha produk berasaskan herba untuk kekal relevan di pasaran.

Selain perlu bersaing dengan lambakan produk farmaseutikal antarabangsa, polisi Kementerian Kesihatan yang agak tegas pada peringkat promosi mengehadkan pengusaha barangan herba untuk menjenamakan produk mereka.

“Terdapat garis panduan yang telah ditetapkan terutama perkara yang melibatkan keberkesanan produk-produk yang berasaskan herba. Sungguhpun begitu, terdapat agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut sama membantu memberi bimbingan seperti syarikat kami yang bernaung bawah program Skim Usahawan Mara,” ujarnya lanjut.

Sementara itu, Pengarah BPU Mara, Rohayah Mohd. Zain berkata, kerjasama dengan FRIM dapat memastikan usahawan untuk membangunkan produk mereka dari pelbagai segi seperti pensijilan, kandungan produk, formula dan sebagainya.

“Bersempena majlis perasmian ini, produk-produk dan prototaip yang terhasil telah dilancarkan dan sijil turut diberikan kepada syarikat-syarikat yang berjaya.

“Menerusi program ini, diharapkan akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan herba dengan produk yang lebih berkualiti dan seterusnya berjaya menembusi pasaran global,” katanya.