ROHANI HASHIM (kiri) bersama Ain Syafawati Abdullah menunjukkan tepung kek dan biskut jenama D Mahligai Opah yang dihasilkan mereka ketika ditemui Utusan Malaysia di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Malah ada ketikanya golongan bekerjaya tiada masa untuk mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan termasuk mendapatkan sukatan bahan campuran yang sesuai.

Menyedari hakikat itu, dua ber­anak di Bandar Putra, Bertam di sini tampil menyediakan tepung kek dan biskut yang lengkap dengan pelbagai bahan sam­pingan dan ramuan lain.

Rohani Hashim, 56, memberitahu, beliau mengambil langkah menghasilkan sendiri tepung itu memandangkan ia sentiasa dicari penggemar kek dan biskut yang tiada masa membeli bahan mentah kerana kesibukan kerja.

Menurutnya, idea penghasilan produk itu hadir daripada anaknya, Ain Syafawati Abdullah, 32, yang sebelum ini pernah menjual tepung kek yang dihasilkan orang lain dan melihat potensi besar terutama pada musim perayaan.

“Tepung yang dihasilkan ini memudahkan kerja pembuatan kek dan biskut kerana ia mengikut sukatan yang tepat serta me­ngandungi bahan campuran yang sesuai tanpa pengguna perlu bersusah payah untuk menyiapkan barang mentah dari proses awal hingga akhir.

“Idea ini timbul daripada Ain Syafawati yang sebelum ini menjual produk keluaran orang lain dan dek kerana minat kami sekeluarga dalam perniagaan, kami beranikan diri tampil dengan tepung kek dan biskut jenama sendiri,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambahnya, produk tepung kek dan biskut itu mendapat maklum balas positif daripada pelanggan kerana diakui memudahkan kerja mereka kerana tidak perlu ke kedai runcit atau pasar raya kerana ramuannya telah lengkap.

Sementara itu, Ain Syafawati berkata, tugasan hakikinya sebagai jururawat tidak terganggu dengan perniagaan itu kerana ia adalah aktiviti sampingan bagi menambah pendapatan keluarga.

“Saya bertuah dapat menjalankan perniagaan bersama ibu yang berpengalaman membuka kedai makan selepas dia bersara lebih setahun lalu.

“Saya lihat permintaan terhadap tepung ini sangat tinggi terutamanya dari golongan wanita bekerjaya dan suri rumah apabila produk ini sangat memudahkan mereka,” ujarnya.

Jelas Ain Syafawati, proses pembuatan kek menggunakan tepung itu amat mudah kerana pelanggan hanya perlu menambah dua biji telur, susu pekat, susu cair dan sedikit minyak sebelum diadun sebati.

Tambahnya, tepung biskut pula hanya perlu ditambah mentega sebelum dibentuk di atas dulang pembakar.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, mereka kini bercadang memperluaskan pasaran tepung kek itu yang dijenamakan sebagai ‘D Mahligai Opah’.

Malah, mereka juga menghasilkan produk tepung kek coklat lembut dan biskut dikenali Belgium Kiss yang mendapat permintaan ramai.