Langkah-langkah yang dilaksanakan itu juga bertujuan merapatkan jurang ekonomi terutamanya antara orang Melayu serta bumiputera dengan kaum-kaum lain di negara ini, sekali gus dapat mengelakkan berlakunya ketegangan antara kaum seperti pada 13 Mei 1969.

Bertitik tolak daripada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh kerajaan pada 1969, satu dasar yang lebih strategik untuk meningkatkan penglibatan orang Melayu serta bumiputera dalam sektor automotif dan perdagangan kenderaan telah diperkenalkan pada 1970 iaitu Dasar Permit Import (AP) Terbuka.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman menyifatkan perangkaan serta pelaksanaan dasar tersebut sebagai sangat tepat dalam usaha kerajaan untuk membantu membangunkan ekonomi orang Melayu ketika era pasca kemerdekaan negara.

Beliau memberitahu, hasil daripada dasar itu bukan hanya memberi impak kepada penerima AP tetapi pada masa sama telah meluas kepada generasi kedua penerima permit import berkenaan.

Kata Zainuddin, pelaksanaan Dasar AP Terbuka telah banyak membantu mengembangkan penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi khususnya sektor automotif.

“Jika kita lihat dahulu selepas negara mencapai kemerdekaan, tiada peniaga Melayu, bumiputera yang terlibat dengan sektor pemasaran automotif ini, tetapi lihatlah hasilnya sekarang selepas kerajaan memperkenalkan Dasar AP Terbuka.

“Pemegang AP bukan sahaja berjaya dalam sektor automotif, malah turut mengembangkan perniagaan mereka ke sektor lain termasuklah francais, perhotelan, perdagangan dan makanan.

“Bahkan pada hari ini, ada dalam kalangan generasi kedua kepada pemegang AP ini berjaya menceburi bidang perniagaan berteknologi tinggi seperti teknologi maklumat (IT), multimedia, perkilangan dan perladangan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam erti kata lain, Zainuddin menyifatkan pelaksanaan Dasar AP Terbuka telah berjaya mengorak langkah orang Melayu sehingga mampu mengembangkan penguasaan ekonomi mereka sejak negara mencapai kemerdekaan 59 tahun lalu.

“Hasilnya kita lihat sehingga ke hari ini, beribu orang telah mendapat nikmat serta manfaat daripada pelaksanaan dasar berkenaan. Terima kasih juga kepada kerajaan yang terus memberi kesinamnungan kepada pelaksanaan Dasar AP Terbuka,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Zainuddin menegaskan bahawa meskipun negara sudah merdeka daripada penjajah dan peperangan, tetapi beliau menzahirkan rasa bimbang terhadap ancaman baharu kepada orang Melayu serta bumiputera iaitu ‘serangan’ ekonomi.

“Sekarang ini kita tidak ada lagi musuh mahu berbunuhan, tembak-menembak seperti ketika era sebelum merdeka. Sekarang ini kita hadapi ‘perang’ ekonomi.

“Serangan itu dapat dilihat daripada aspek bagaimana ada pihak-pihak tertentu yang cuba sabotaj industri orang Melayu. Itu merupakan cabaran kita pada hari ini,” ujar beliau.