MRI pada mulanya memberi tumpuan kepada perdagangan dengan melaksanakan pelbagai aktiviti perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan.

Pada peringkat awal penubuhan MRI pada 1999, Adzharry mengakui waktu itu sangat sukar ditambah kegawatan ekonomi pada 1998. Keadaan itu menyebabkan banyak syarikat terjejas dan memerlukan masa untuk pulih.

“Apabila ekonomi mula berkembang, ramai menceburkan diri dalam dunia perniagaan menjadikan persaingan sengit. Kami berdua memikirkan bagaimana untuk mencipta atau memperkenalkan perniagaan yang tidak banyak persa­ingan terutama dalam sektor pertahanan bagi segmen perairan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Walaupun memiliki prospek perniagaan, kemasukan MRI ke Kementerian Pertahanan (Mindef) adalah sukar tanpa menjadi wakil kepada agensi. MRI berusaha mendapatkan agensi Yamaha bagi produk enjin ­motor bot.

“Yamaha Jepun ketika itu hanya melantik pengedar dalam kalangan bukan bumiputera dan sukar bagi peniaga bumiputera mendapatkan kepercayaan mereka. Keadaan itu diburukkan lagi apabila tiada perolehan projek pada 2006.

“Kami bernasib baik apabila mendapat tender Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). MRI mula mendapat kepercayaan daripada Yamaha dan dilantik sebagai syarikat bumiputera tunggal yang bertanggungjawab untuk sektor pertahanan,” katanya.

MRI merupakan perintis kepada Gocom (Government ­operate company own and maintain) dengan konsep tersebut pernah dikemukakan pada 2010, namun tidak diterima kerana tiada perolehan kerajaan melalui konsep sedemikian.

Gocom memerlukan per­belanjaan modal yang besar kerana syarikat perlu menyediakan terlebih dahulu aset, tenaga kerja, bengkel serta alat ganti untuk memenuhi keperluan operasi yang ditetapkan oleh kerajaan.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan sangat ketat termasuk kerosakan kecil atau besar, selenggaraan mengikut ja­dual dan perlu disiapkan dalam tempoh enam jam. Denda serta penalti boleh dikenakan sekiranya tidak mencapai KPI.

“Syukur alhamdulillah, prestasi KPI kami mencapai 98 peratus berbanding 90 peratus yang ditetapkan kerajaan. Dari aspek sumber modal, kami cuba buat pinjaman dengan bank namun ditolak kerana konsep Gocom dan nama MRI tidak dikenali.

“Cabang pembiayaan Pelaburan Mara Berhad (Pelaburan Mara), PMB Tijari paling banyak membantu dan menyokong perkembangan MRI. Pada 2014, PMB Tijari meluluskan pembiayaan berjumlah RM14 juta dalam tempoh tiga minggu setelah MRI berjaya mendapatkan dua tender daripada kerajaan untuk sewaan ­enjin dan bot,” jelas Adzharry yang pernah bertugas di Somalia.

Sementara itu, Mohamad Redza berkata, MRI menawarkan pekerjaan kepada pesara tentera untuk menjadi juruteknik bagi membaiki dan menyelenggara kerosakan enjin dan bot supaya aset-aset itu bersediadigunakan pada bila-bila masa. Tenaga kerja mesti dilakukan sendiri tanpa penyumberan luar.

Selepas kejayaan membekalkan perkhidmatan sewaan dengan konsep Gocom selama empat tahun, syarikat Korea Selatan, Woonam Marine Craft Ltd. (Woonam) menawarkan MRI untuk menjadi pengedar di rantau ASEAN dan Australasia pada 2016.

Setahun selepas itu, MRI dinaik taraf daripada pengedar bumiputera 1S (jualan) kepada 3S (jualan, servis dan alat ganti) oleh Yamaha dan mempunyai pusat jualan 3S untuk produk enjin OBM yang berpangkalan di Lumut,Perak. MRI kini sedang giat mempromosikan produknya di Vietnam dan ­Brunei bersama Woonam.

Walaupun telah lama ­me­ninggalkan dunia ketente­raan, Adzharry dan Mohamad Redza tetap komited untuk memberi sumbangan tanpa kos kepada kerajaan termasuk membina kem mini, menambah baik kemudahan sedia ada dan sedang me­rancang bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) bagi melaksanakan skim latihan untuk askar-askar di Sabah.

“Kami lakukan ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat MRI dan rasa prihatin terhadap pasukan yang berjuang mempertahankan negara. Sebagai bekas tentera, kami memahami keperluan mereka dan bantuan ini diharapkan dapat menaikkan semangat mereka untuk terus berjuang,” kata Mohamad Redza.