Berkat kesungguhan dan kerja keras yang diterapkan sejak kecil, dia berjaya menjadi seorang usahawan penternakan yang berjaya. Malah pengeluaran susu kambing yang merupakan teras perniagaan yang dijalankannya berjaya mendapat pengsijilan dari Titik Kawalan Kritikal dan Analisis Berbahaya (HACCP) pada 2006.

Pada asalnya, dia hanya seorang penternak kambing yang biasa-biasa sahaja. Bermula dengan menternak kambing di kawasan tanah berkeluasan 0.8 hektar di Parit Yaani, Johor pada 2003, siapa sangka dia mampu membiakkan kambing sehingga mencecah 2,000 ekor.

Dengan kepakarannya itulah barangkali yang membuatkan Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Mokhtar Ismail pada masa itu berasa yakin dengan kemampuannya untuk mengembangkan lagi perusahaan yang dijalankan.

Ketika mengadakan lawatan ke ladang sebelum ini, Mohd Mokhtar memuji kambing yang diternaknya bukan sahaja dalam keadaan sihat, malah ruang persekitaran kandang bersih dan tidak berbau.

Pada 2007, Goh disarankan supaya menyediakan kertas kerja bagi mengembangkan lagi perusahaan yang dijalankan.

“KSU memaklumkan kepada saya, ada tanah milik kerajaan persekutuan yang boleh disewakan sekiranya saya mahu membesarkan lagi kawasan penternakan sedia ada. Namun, lokasi ketika itu tidak diketahui lagi. Justeru, saya pun meminta kerani saya, Ina (nama panggilan) menyiapkan kertas kerja.

“Sebelum itu, saya diminta terlebih dahulu membuat satu logo memandangkan perusahaan sudah ditukar kepada sendirian berhad. Pada asalnya, nama perniagaan diberi sempena nama saya iaitu Un Keng Farming (ladang lama). Namun, ketika diminta menyediakan logo syarikat, Ina hanya melukis perkataan UK (singkatan Un Keng). Sejak itu panggilan tempat ini berubah kepada UK Farm (ladang baharu),” katanya.

Setelah kertas kerja diluluskan dan sesi temu duga berjaya, Goh akhirnya memperolehi tanah seluar 40.4 hektar daripada Projek Pertanian Moden Kluang.

Pihak kementerian memaklumkan, Goh diberi dua tahun untuk membuka kawasan ladang. Jika dalam tempoh itu, dia tidak berjaya mencapainya, kontrak akan ditarik balik.

“Sebelum memulakan operasi, saya buat perbincangan dengan keluarga terlebih dahulu kerana perusahaan ini memerlukan wang yang banyak. Setelah itu, barulah saya memulakan langkah meninjau lokasi.

“Kawasan ladang ini pada mulanya sebuah kawasan hutan yang dipenuhi semak samun, pokok buluh dan balak. Tiada kemudahan air dan elekrik. Kereta hendak masuk ke dalam pun tidak boleh. Hanya ada laluan kecil, muat untuk motosikal.

“Memandanglan gerai makanan terletak jauh dari ladang ini, kami terpaksa bawa tong air besar menggunakan motosikal bagi memudahkan pekerja memasak sendiri. Selepas itu, barulah saya menyewa jentolak dan jentera pengorek Kobe bagi melakukan kerja-kerja pembinaan ladang,” katanya.

Katanya, setelah siap sebahagiannya pada 2009, kambing dari lokasi perusahaan yang lama dipindahkan ke ladang baharu.

Perusahaannya berkembang maju sebagai sebuah pusat penternakan kambing tenusu. Goh kemudian melancarkan UK Agro Resort pada 2010 dan memulakan aktiviti agro pelancongan dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti penginapan calet, surau, restoran (halal), dewan seminar dan mesyuarat.

Pengunjung yang datang ke sini berpeluang melakukan pelbagai aktiviti seperti melawat kandang kambing, pusat pemprosesan susu kambing, ladang itik, taman burung unta, taman arnab, taman rusa, kampung Orang Asli suku kaum Jakun dan ladang buah.