Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak RM35 juta diperuntukan MARA melalui DanaNITA dengan fokus diberikan kepada latihan dan bim­bingan serta pembiayaan khas untuk usahawan golongan tersebut.

“Bagi latihan dan bimbingan, sebanyak RM5 juta diperuntukkan dan sebanyak 5,000 usahawan wanita akan menerima manfaat daripadanya. Antara latihan yang akan diberikan adalah pembentukan usahawan, motivasi serta pelan perniagaan bagi mereka yang baharu menceburi bidang keusahawanan.

“Bagi pembiayaan khas pula, sebanyak RM30 juta disalurkan bagi memperkasa 1,250 usahawan wanita. Pembiayaan ini memberi fokus kepada usahawan wanita berumur antara 18 dan 60 tahun membabitkan had pembiayaan sebanyak RM50,000 berkonsepkan pembiayaan patuh syariah,” katanya semasa merasmikan Seminar Pembangunan Usahawan Wanita 2017 dan Pelancaran Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNita), di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, timbalannya, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas, Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Tambah Ismail Sabri, Dana­NITA adalah terbuka kepada semua usahawan wanita, sama ada yang mahu memulakan perniagaan ataupun mereka yang mahu mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Sekiranya sambutan terhadap dana ini memberangsangkan serta pembayaran balik yang memuaskan sudah tentu jumlah dana ini akan ditambah, agar lebih ramai usahawan wanita mendapat manfaatnya kelak.

“Sudah tentu juga penerima pembiayaan ini akan dipantau terutama bagi memastikan perniagaan mereka berjalan lancar, sekali gus menjayakan hasrat kerajaan agar lebih ramai usahawan wanita dapat dilahirkan,” katanya.

Usahawan wanita yang berminat dengan skim pembiayaan ini boleh mendapatkan borang permohonan di kesemua pejabat MARA negeri dan daerah, malah permohonan juga boleh diisi secara online di portal rasmi MARA iaitu www.mara.gov.my,” katanya.

Sementara itu, jelas Ismail Sabri, Seminar Pembangunan Usahawan Wanita 2017 merupakan satu langkah bagi melahirkan dan membantu usahawan baharu wanita dan sedia ada menjadi usahawan berjaya, maju dan berdaya saing.

“Program yang dilaksanakan ini juga sudah tentu dapat mewujudkan dan memperluaskan rangkai­an usahawan wanita serta menjadi rujukan dan sokongan ekonomi terutamanya dalam sektor-sektor strategik,” katanya.

Setakat ini hampir 700,000 orang usahawan telah diba­ngunkan MARA melalui pelbagai program seperti latihan, pembangunan standard perniagaan, teknousahawan serta pemasaran dan penjenamaan.

“Selain itu, lebih 200,000 orang usahawan telah dibantu untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui kemudahan pembiayaan perniagaan.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dari 2011 hingga Februari 2017, MARA telah meluluskan pembiayaan kepada 37,992 usahawan dan 4.56 peratus daripada jumlah tersebut merupakan usahawan wanita,” kata Ismail Sabri.