Selain sebagai sumber pendapatan utama, terdapat juga mengusahakannya untuk mencari pendapatan tambahan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Shahrul Nizam Baharuddin, 32, dari Taiping, Perak, merupakan antara usahawan dalam talian yang berjaya mengubah nasib keluarga hasil daripada perniagaan gajet pintar untuk kereta sejak dua tahun lalu.

Tambah bapa empat anak itu, pada mulanya dia hanya menjual gajet untuk telefon seperti alat pengecas telefon bimbit dan jam digital serta lain-lain produk pada 2015.

Namun dengan hasil usahasama dan perjanjian dari salah satu kilang gajet terbesar di China, dia berjaya menjadi pengedar tunggal gajet Vantage In Car Intelligent Gadget, yang mempunyai pelbagai fungsi.

“Alhamdulilah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Dalam masa dua tahun saya berjaya menjual 30,000 unit,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambah Shahrul Nizam, dia menyasarkan untuk menjual Vantage In Car Intelligent Gadget sebanyak 100,000 tahun ini.

“Setelah tiga tahun menjalankan perniagaan itu, banyak ilmu dan pengalaman yang dapat saya pelajari seperti cara bagaimana mahu memasarkan sesuatu produk, melayan karenah pelanggan serta tahu apa kehendak masyarakat yang sentiasa berubah.

“Rasa sangat seronok lebih-lebih lagi apabila melihat penjualan produk yang saya usahakan ini semakin mendapat sambutan dan menjadi trend kerana keperluannya,” katanya.

Shahrul Nizam optimis alat tersebut mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dan mampu pergi jauh kerana memiliki keistimewaan tersendiri.

“Melihatkan potensi gajet ini, saya adalah antara orang terawal menjadi pengedar tunggal produk tersebut, walaupun ketika itu tidak banyak testimoni.

“Meskipun masih belum dikenali, saya berjaya menjual pengecas Vantage In Car Intelligent Gadget terbesar di negara ini,” katanya.

Sejak menjual produk itu secara dalam talian, dia bersyukur walaupun banyak cabaran dan tekanan dalam menjalankan perniagaan tersebut tetapi berjaya membawa perubahan hidup keluarganya.

“Kejayaan ini membuatkan saya mahu berkongsi dengan ramai orang. Percayalah, anda boleh membuat keuntungan dan menjana ekonomi keluarga.

“Yang penting niat, doa dan usaha yang tak pernah kenal erti putus asa disamping sentiasa menimba ilmu baharu dalam perniagaan,” katanya.

Pada masa sama, Shahrul Nizam turut menyarankan semua suri rumah, pelajar lepasan sekolah mahupun lepasan universiti menggunakan peluang pemasaran dalam talian untuk menjana pendapatan kerana jaringan media sosial di negara ini sangat aktif.