Justeru banyak butik-butik mula bertapak menjual pelbagai kelengkapan yang dahulunya agak sukar untuk diperolehi.

Butik Kelengkapan bayi dan kanak-kanak Mamayaya Zone yang mula bertapak di Bandar Baru Bangi sejak 2013 juga tidak ketinggalan menjadi tumpuan penduduk di sekitar kawasan itu bagi mendapatkan keperluan bagi golongan sasar.

Namun sejak teknologi maklumat berkembang pesat, butik ini tidak ketinggalan menjadikan dunia online sebagai medium meluaskan pasaran dan jualan barangan yang ada di dalam butik.

Pemilik Butik Mamayaya Zone, Nerfetiti Ahmad Nordin, 44, berkata, jualan barangan keperluan bayi dan kanak-kanak secara online menerima sambutan menggalakkan sehingga membolehkan dia menerima pelanggan dari luar Lembah Klang.

Katanya, walaupun baru beberapa bulan berpindah ke kedai yang baharu sejak Januari lalu, jualan secara online yang diperkemaskan semula sebelum ini semakin rancak.

Menurutnya, Butik Mamayaya Zone kini lebih memfokuskan kepada jualan secara digital selain menumpukan kedatangan pelanggan ke lokasi kedai.

"Sejak 2008, Butik Mamayaya Zone bertapak di Bangi dan kita bersyukur kerana mendapat sambutan baik. Tambahan pula sejak berpindah, jualan online di laman web, Facebook dan Instagram merancakkan lagi perniagaan kami," katanya.

Katanya, Mamayaya Zone boleh dikatakan menjadi pusat sehenti  kepada golongan ibu bapa yang memerlukan pelbagai barangan keperluan bagi bayi dan kanak-kanak.

Selain lokasi yang strategik, butik itu juga turut menyediakan koleksi pakaian sendiri berjenama MYZ khas untuk kanak-kanak pada harga berpatutan.

Antara pakaian yang dijual adalah baju Melayu, baju kebaya, kurung, jubah, kurta, tudung, kopiah dan sampin untuk kanak-kanak.

Lebih menarik, butik ini juga menyediakan set pengurusan uri lengkap iaitu My Uri yang dikeluarkan oleh Mamayaya Zone sendiri pada harga RM50. - UTUSAN ONLINE