Kejayaan itu dicapai kerana jualan burger itu sentiasa mendapat sambutan daripada pelanggan pelbagai kaum yang tinggal di kawasan perumahan berdekatan.

Tinjauan Mega Rona mendapati pelanggan menggemari burger Mohd. Jamil kerana rasa yang enak dan berkualiti.

Selain itu, JSB popular dalam kalangan pelanggan yang menggemari bahan segar dan melengkapkan rasa sebenar burger tersebut. Lebih mengujakan apabila resipi burger itu cukup sempurna dan terdiri daripada sumber halal yang bersih selain harganya berpatutan.

Mohd. Jamil memulakan perniagaan burger itu sejak 1991. Sehingga kini burger jualannya terus mendapat sambutan baik daripada pelanggan.

Menurutnya, burger ayam dijual pada harga RM3.40, daging ayam istimewa (RM3.80), daging ayam dan keju (RM4.90), ayam double istimewa (RM6.60), daging lembu (RM3.40), daging lembu istimewa (RM4.80), daging lembu dan keju (RM4,90), daging lembu double (RM5.20), daging lembu double istimewa (RM6.60), twister wrap (RM4.90) dan twister wrap istimewa (RM6.30).

Gerai burger Mohd. Jamil dibuka dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam.

“Alhamdulillah, saya berjaya menjual 100 hingga 150 bungkus burger setiap hari,” katanya.

Menurutnya, gerai burgernya ditutup pada hari Ahad untuk berehat.

Dalam pada itu katanya, jumlah jualan burger bergan­tung kepada cuaca.

“Jika tidak hujan, pelanggan ramai datang ke gerai burger ini dan saya boleh menjual sehingga 150 bungkus sehari,” katanya.

Mohd. Jamil berkata, setiap hari dia memperoleh bahan mentah daripada pembekal barangan sejuk beku di sekitar Jalan Silibin, Ipoh.

Menurutnya, setakat ini dia tidak menghadapi masalah mendapatkan bahan mentah berkenaan.

Menceritakan pengalamannya, dia pernah menjalankan perniagaan sambilan menjual burger sejak di bangku sekolah dalam usaha menambah wang saku.

Minatnya diteruskan selepas tamat persekolahan. Mempunyai pekerjaan lain pada waktu siang, Mohd. Jamil akan berniaga burger pada waktu malam.

“Saya memberi tumpuan penuh terhadap perniagaan ini kerana ia sumber rezeki saya sekeluarga.

“Lagi pun, gerai ini sentiasa mendapat sambutan pelanggan,” ujarnya yang memberitahu modal pusingan bagi menjalankan perniagaan itu tidak membebankannya.

Dia berkata, burger daging ayam dan lembu yang diadun dengan sayuran seperti timun, bawang, daun salad dan kobis ungu mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja.

“Pelanggan boleh membuat pesanan sebelum sampai ke gerai dengan menelefon saya di talian 014-3026822,” katanya.

Mohd. Jamil bercadang membuka cawangan di tempat lain bagi menambah pendapatan keluarga, tetapi hasratnya terhalang berikutan kesukaran mendapatkan tenaga kerja mahir bagi membantunya menguruskan perniagaan tersebut.

Dia kini menyemai minat dan melatih anak sulungnya yang berusia 12 tahun untuk menjalankan perniagaan burger.

Menurutnya, perniagaannya boleh dikembangkan dengan sokongan anak-anaknya apabila mereka besar nanti.

Sementara itu seorang pelanggan, Datin Siti Zabidah Setia, 60, berkata, beliau sering berkunjung ke gerai burger Mohd. Jamil bagi menikmati burger yang sedap dan menepati cita rasa.

Menurutnya, burger yang dijual dijamin halal dan mengikut selera pelbagai kaum dan peringkat usia.

“Saya dan keluarga menjadi pelanggan tetap gerai ini sejak 20 tahun lalu,” katanya.