Meskipun terpaksa membahagikan masa memikul tanggungjawab sebagai anak, isteri dan ibu, namun baginya bukanlah sesuatu yang perlu dikeluhkesahkan.

Malah demi menjaga ibunya yang menderita penyakit strok, dia sanggup melepaskan jawatannya setelah 10 tahun berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Benarlah, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Keputusan untuk bersara awal juga merupakan detik permulaan dia dan suaminya, Mohd. Ruzaimi Mohd. Zaki, 35, membuka dimensi baharu dalam perniagaan.

Namun, bukanlah semudah disangka apatah lagi Nor Halmi tidak pernah mempelajari selok belok dunia perniagaan yang penuh dengan pelbagai cabaran.

“Pada mulanya saya menjual kain pasang cotton, sutera Vietnam dan baju kurung bermanik yang dibeli semasa melancong di Vietnam. Kesemuanya habis dijual kepada kawan-kawan.

“Disebabkan kejayaan kecil itu, saya begitu teruja untuk berniaga dan mengeluarkan modal lebih RM30,000 hasil daripada bayaran gratuiti.

“Dengan modal itu, saya membeli 200 helai telekung dan 200 kain sutera dari negara sama untuk dijual kepada rakan-rakan lain.

“Malangnya, hanya kira-kira 50 helai (telekung dan sutera) sahaja yang berjaya dijual,” katanya.

Setelah mengalami kegagalan, Nor Halmi tidak lagi berani membeli borong produk dari Vietnam sebaliknya memutuskan untuk menjadi ejen dropship (orang tengah sebagai transaksi jualan) bagi perniagaan menjual anak tudung serta sarung lengan.

“Saya memutuskan untuk menjadi ejen bagi mengelakkan kerugian berulang. Lagipun saya tidak perlu keluarkan modal dan hanya bertindak sebagai orang tengah,” katanya.

Dalam usaha meluaskan promosi dan pemasaran, Nor Halmi dan suami turut mengambil pendekatan membuka gerai pameran di pelbagai program dan karnival sekitar Lembah Klang.

Namun, strategi itu tidak seberapa menguntungkan apabila pulangan yang diperoleh hanya sedikit.

“Saya fikir apabila membuka gerai pameran di pelbagai karnival, penjualan akan lebih mudah dan meluas memandangkan potensi pelanggan lebih besar.

“Namun ternyata sekali lagi gagal mencapai sasaran. Ada kalanya rugi dan hasil jualan hanya mampu menampung kos sewa tapak. Saya dan suami lebih banyak keluarkan duit dan menghabiskan begitu banyak tenaga,”ujarnya.

Setelah kegagalan demi kegagalam dilalui akhirnya Nor Halmi menyedari kurangnya ilmu pengetahuan mengenai perniagaan secara dalam talian merupakan kesilapan terbesar yang perlu diperbaiki.

“Mujur dengan bantuan pakar dalam bab perniagaan secara dalam talian iaitu Hasbul Aqil dan Hasbul ‘Arif yang merupakan peneraju majalah Niaga, akhirnya kami memperbaiki kesilapan serta kekurangan perniagaan kami.

“Melalui ilmu diperoleh dari majalah Niaga, kami sedar berniaga ini perlukan matlamat dan apa yang ingin dicapai adalah membina perniagaan kami sendiri dan bukannya sekadar berniaga,” katanya.

Berkat kesabaran dan usaha yang tinggi, akhirnya Nor Halmi,berjaya mengeluarkan produk di bawah jenamanya sendiri iaitu Amzara.

“Tudung Amzara adalah tudung jenis sarung, soft awning (Sengkuap lembut) dan berdagu yang dihasilkan dalam pelbagai design dan saiz.

“Ciri-ciri tudung yang dihasilkan memenuhi aspek patuh syariah di samping mementingkan keselesaan dan menepati cita rasa pengguna,” ujarnya yang menyasarkan lima tahun lagi untuk menjadi pengeluar barangan kelengkapan haji dan umrah.