Mengimbau kembali, Afrina yang juga graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang dalam jurusan Diploma Kesihatan dan Persekitaran memberitahu, dia mula berniaga dengan menjadi ejen ‘dropship’ bagi produk kanta lekap, baju dan kosmetik dengan keuntungan sekitar RM3 bagi setiap jualan.

Katanya, sejak itu dia mula bercita-cita mempunyai perniagaan sendiri dan sanggup berhenti belajar pada Oktober 2017 sewaktu sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan di UiTM Kampus Puncak Alam meskipun mendapat tentangan hebat keluarga.

NURUL AFRINA SHAARI
NURUL AFRINA SHAARI

“Saya berazam untuk membuktikan kepada keluarga yang saya mampu berjaya. Pada akhir 2017, saya menu–buhkan syarikat bersama suami, Wan Mohamad Fareed Aqeel Wan Mohd Adnan, 25, dan kami mengeluarkan produk jenama sendiri iaitu Fiena Beauty.

"Saya bermula dengan modal RM5,000 iaitu hasil yang dikumpul ketika menjadi ejen jualan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, baru-baru ini.

Antara produk kosmetik keluaran Fiena Beauty adalah pil makan–an tambahan, sabun muka dan serum hasil formula sendiri. Usahawan muda berasal dari Kubang Kerian, Kelantan itu berkata, kini pendapatan bulanannya mencecah enam angka meskipun baru setahun lebih berkecimpung dalam perniagaan tersebut.

"Kejayaan ini adalah usaha dan sokongan suami bersama 15 kakitangan yang banyak membantu saya dalam melancarkan segala urusan syarikat,"ujarnya.

Afrina yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berkata, dia berazam untuk membantu anak muda khususnya graduan untuk mendapatkan pekerjaan dan menjana pendapatan meskipun dari rumah.

"Sehingga kini, saya sudah ada 70 ejen dan 300 stokis dari seluruh negara termasuk graduan universiti yang mempunyai diploma dan ijazah. Saya sasar untuk membantu 1,000 graduan memperoleh pekerjaan dan pendapatan sendiri sehingga hujung tahun ini," katanya.