Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan selaku Pengerusi SSM, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, secara purata pendaftaran perniagaan ber­kenaan yang diterima adalah seba­nyak 1,500 permohonan sebulan.

“Para pelajar tersebut mendaftarkan perniagaan masing-ma­sing secara percuma melalui Skim 1Pelajar 1Pendaftaran Perniagaan yang diperkenalkan SSM 1 Januari lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkenan melancarkan Karnival Youngpreneurs, Go! (YPGO) di Kampus Tetap Pauh Putra Unimap di sini hari ini.

Berkenan berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor Unimap.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Nege­ri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSM, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner.

Karnival YPGO yang menyedia­kan 43 gerai jualan dan pameran agensi kerajaan dan syarikat juga dimeriahkan dengan Sesi Bersama Selebriti Dalam Talian iaitu Elfira Loy, Hisham Salleh, Talib dan Fizo Omar.

Kira-kira 5,000 pelajar dari 18 IPTA dan IPTS hadir sepanjang karnival selama dua hari itu yang bermula semalam.

Jamil yang juga Prof. Adjung Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Unimap berkata, pelajar yang mendaftar menerusi skim berkenaan dikecu­a­likan daripada sebarang bayaran kerana tertakluk di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

“Inisiatif ini diberikan menerusi geran RM10 juta yang diperuntukkan khas oleh SSM,” katanya yang memberitahu jumlah geran itu akan dibahagikan sebanyak RM1 juta bagi setiap tahun selama 10 tahun.

Jamil menambah, melalui geran tersebut setiap pelajar yang memohon hanya layak sekali sahaja mendaftar perniagaan.

“Setakat ini perniagaan dalam talian yang dijalankan oleh pelajar lebih banyak kepada pakaian dan tudung yang tidak melibatkan peruntukan modal yang besar,” katanya.