Peranan tiga kelompok masyarakat itu mempunyai signifikan yang tersendiri walaupun pendidikan menjadi tanggungjawab kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan untuk merancang kurikulum dan kokurikulum pengajaran serta pembelajaran (P&P).

Langkah itu telah lama diambil oleh Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menerusi Yayasan Pekema yang sentiasa memperuntukkan sebahagian dana untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurut Ahli Jawatankuasa Pekema, Datuk SM Zulkifli SM Amin, peruntukan tersebut bukan hanya untuk golongan yang kurang bernasib baik, malah turut disalurkan kepada sekolah dan institusi pengajian bagi melancarkan progam berimpak tinggi dengan matlamat mencetus perubahan minda dalam kalangan generasi muda.

“Walaupun sumbangan kami tidak seberapa, namun Yayasan Pekema berusaha memastikan bantuan yang disalurkan secara berterusan bagi membolehkan program yang ingin dilaksanakan pihak penerima betul-betul berjaya.

“Pemberian wang tunai RM5,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Bukit Nanas 2 ini misalnya merupakan kali kedua disumbangkan oleh Yayasan Pekema, terdahulu pada tahun lalu untuk program seni tarian kreatif peringkat kebangsaan,” katanya.

Terdahulu, SM Zulkifli menyampaikan sumbangan tersebut kepada Guru Besar SK Convent Bukit Nanas 2, Laili Saidon dan menyempurnakan Temasya Sukan Tahunan 2016 di sini, Sabtu lalu.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Convent Bukit Nanas 2, Alice Suriati Mazlan berkata, pihaknya berterima kasih dengan Yayasan Pekema kerana bermurah hati memberi sumbangan kepada sekolah tersebut.

Kata beliau, bantuan tersebut amat besar maknanya kepada mereka kerana bakal menjadi penganjur Pertandingan Tarian Kebudayaan Tradisional dan Kreatif Rakyat Kebangsaan pada bulan depan.

Jelasnya, sebanyak 15 sekolah seluruh negara akan menyertai pertandingan tersebut, jadi sudah tentu kami perlu menyediakan segala kelengkapan dan kemudahan untuk memastikan pertandingan berjalan lancar.