Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) Sarawak bertindak segera menghulurkan bantuan wang tunai berjumlah RM10,000, sehari selepas kejadian.

Presiden Pekema Sarawak, Datuk Abang Khalid Abang Marzuki berkata, bantuan tersebut kecil nilainya tetapi diharap dapat membantu pihak sekolah itu untuk membina semula bangunan baharu untuk keselesaan murid-murid.

“Kami bersimpati dengan nasib yang menimpa sekolah itu, lebih-lebih lagi terhadap 16 murid tahun enam yang terjejas untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akibat kebakaran tersebut.

“Walaupun kebakaran itu hanya melibatkan sebuah bangunan kayu di sekolah tersebut, namun sudah tentu kejadian itu mengganggu konsentrasi mereka untuk menjawab peperiksaan,” katanya.

Jelas Abang Khalid, pemberian wang tunai itu disampaikan kepada Rurum Kelabit Sarawak diwakili Setiausaha Agungnya, Nelson Kebing di Seri Pekema, Jalan Greenwood, Kuching.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang Ahad lalu, sebuah bangunan kayu yang digunakan sebagai dewan peperiksaan UPSR hangus dijilat api dalam kebakaran.

Guru Besar SK Bario Dara Tigan berkata, akibat kebakaran itu, 16 murid yang menjalani UPSR terpaksa mengambil peperiksaan tersebut di SMK Bario, iaitu terletak di sebelah SK Bario.