Walaupun gambar X70 telah banyak disiarkan dalam internet, tetapi pelancaran masih dijadikan teka-teki kepada pengguna sehinggakan ada khabar angin yang ia bakal dilancarkan pada November ini.

Tetapi ada sebabnya me­ngapa Proton masih membisu dengan tarikh rasmi X70 ke­rana syarikat automotif itu sedang sibuk dengan previu bersama media tentang mengapa pengguna perlu memikirkan secara serius untuk memiliki SUV X70.

* X70 boleh berinteraksi de­ngan pengguna

Proton X70 memiliki Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) yang menawarkan pelbagai fungsi pengguna melalui aplikasi serta untuk kekal berhubung dengan kereta melalui telefon bimbit mereka.

Apa yang menariknya adalah X70 juga mempunyai kad eSIM dan GKUI telah dimuatkan de­ngan lima aplikasi yang menawarkan perkhidmatan seperti radio dan muzik dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara.

Akses kepada aplikasi dan fungsi-fungsi yang lain adalah melalui skrin sentuh antara muka berasaskan Android bersaiz 8 inci dengan paparan warna penuh 1280X720 yang dilengkapi ruang memori dalaman 16GB.

Sistem ini juga mempunyai sambungan Wi-Fi agar X70 tersebut boleh digunakan sebagai hotspot mudah alih. Untuk menggunakan sepenuhnya keupayaan sambungan tersebut, pengguna boleh memadankan kereta mereka dengan telefon pintar melalui Proton Link dengan menggunakan identiti individu yang diberikan kepada setiap pembeli.

Malah, usaha sedang dilakukan bagi membolehkan anda membuat transaksi untuk pembelian dengan X70! Namun sama ada anda dikenakan komitmen bulanan melalui penggunaan eSIM, Proton akan menjawabnya pada waktu pelancaran X70 nanti.

* Fungsi di mana kereta saya?

Ciri-ciri ini pastinya amat digemari oleh wanita. Kerana ia membolehkan X70 anda dikesan lokasinya. Oleh kerana ia sebuah SUV yang boleh berinteraksi, pemiliknya boleh membina profil daripada papan telematik yang boleh merakam data seperti jarak perjalanan, penggunaan bahan api, tempoh perjalanan serta maklumat servis berkala kereta pengguna.

Terdapat juga fungsi ‘cari kereta saya’ yang akan berfungsi terutamanya apabila pemilik meletakkan kereta mereka di kompleks tempat letak kereta yang besar.

 

* Arahan suara ‘Hi Proton’

Ia adalah suara seorang gadis muda yang hanya mahir berbahasa Inggeris. Pengecaman suara memudahkan aktiviti bebas tangan (hands free). Maknanya pengguna tidak perlu menekan butang untuk menghidupkan radio, menguatkan pendingin hawa dan menutup tingkap.

Apa yang anda perlu lakukan ialah menyebut 'Hi Proton’ untuk mengaktifkan arahan suara. Arahan seperti; ''I am cold,’’ akan membolehkan pendingin hawa dilaraskan kepada suhu yang lebih panas secara automatik.

Arahan seperti ; "'I am hungry,’’ membolehkan skrin infotainment memaparkan restoran makanan berhampiran dengan lokasi anda. Seperti kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa, anda tidak perlu fasih berbahasa Inggeris untuk mengaktifkannya, cukup de­ngan arahan ringkas dan mudah.

Namun terdapat usaha untuk menggunakan bahasa Thailand dan Indonesia sebagai arahan suara pada X70. Bila akan dilaksanakan, biarlah Proton yang menjawabnya.

Proton X70 ini memiliki ba­nyak ciri premium yang membolehkan anda memikirkan secara serius untuk memilikinya. Selain keterhubungannya de­ngan pengguna, ia sarat dengan ciri-ciri keselamatan seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW), Line Departure Warning, Intelligent High Beam Control dan lain-lain lagi.

Selain itu, bermula 17 Oktober ini Proton akan mengaktifkan tempahan dalam talian di laman webnya. Pelanggan yang berminat untuk membuat tempahan Proton X70 boleh menempah dan membayar deposit secara dalam talian, yang memudahkan pelanggan yang tidak mempunyai masa untuk berkunjung ke pusat cawangan 3S dan 4S Proton.