Vios generasi ketiga dipertontonkan kepada orang ramai pada Pertunjukan Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018 November tahun lalu dan mendapat maklum balas positif daripada para pengunjung.

Kekal maskulin dan sporty. Itulah kelainan yang cuba ditampilkan menerusi Toyota Vios serba baharu melalui transformasi luaran dan dalaman pastinya menarik perhatian kepada sesiapa sahaja memandangnya.

Vios serba baharu tidak hanya menerima peningkatan ‘wajah’ yang segar tetapi turut melibatkan pelbagai naik taraf dan penambahbaikan lain menjadikannya sebuah jentera yang selamat dan memberi keterujaan ketika memandu.

Luaran

Sekali pandang saiz Vios serba baharu seakan sama seperti generasi kedua mungkin disebabkan tiada perbezaan ketara pada rekaan bahagian hadapan dan badan. Sedikit mengecewakan, tetapi gaya maskulin dan sporty masih dikekalkan Toyota.

Garisan kontur pada badan Vios serba baharu menyerlahkan penampilan aerodinamiknya. Bahagian belakang diberi peningkatan pada rekaan lampu yang sedikit tirus dan melebar hingga ke sisi menampakkan jentera itu seolah-olah lebih lebar.

* Lampu belakang

Menggunakan kombinasi diod pemancar cahaya (LED) untuk memberikan penampilan moden di samping dua lampu kabus yang terletak di bahagian bawah sisi bampar.

Penulis baru-baru ini, berpeluang memandu uji Vios serba baharu varian G dengan kit aero ke Desaru, Johor. Penulis mendapati orang ramai hanya menyedari Vios yang dipandu adalah model terbaharu apabila mereka melihat bahagian belakang berbanding hadapan.

* Dalaman

Perubahan paling ketara adalah pada papan pemuka, panel instrumen, kemasan, rekaan kusyen tempat duduk dan bahagian konsol tengah hadir dengan rekaan baharu.

Kemasan ruang kabin yang menggabungkan warna hitam bersama plat krom memberikan rasa premium. Peletakkan pelbagai butang kawalan termasuk paddle shifters juga sesuai serta mudah dicapai.

Bagaimanapun, suis untuk mengaktifkan Panoramic View Monitor (PVM) dan kedudukan dua slot pengecasan USB di bahagian belakang dirasakan tidak sesuai kerana agak tersorok daripada pandangan.

Varian G didatangkan dengan tempat meletak tangan di bahagian tengah hadapan, tetapi sedikit pendek yang mana ia menyukarkan pemandu merehatkan tangan. Hanya hujung siku sahaja yang boleh menyentuh.

Aspek keselamatan turut dipertingkat menerusi Pengawasan Titik Buta, PVM, perakam video digital hadapan dan Amaran Lintasan Trafik Belakang. Semua varian Vios serba baharu menerima penarafan ASEAN NCAP lima bintang dan dilengkapi tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).

* Prestasi

Memandu dengan kelajuan antara 110 kilometer sejam (km/j) hingga 130 km/j sangat selesa, santai serta bersahaja malah kawalan stereng dengan sebelah tangan juga tidak menjadi masalah.

Bagaimanapun, kelajuan melebihi 130 km/j memerlukan pemandu memberi perhatian dan fokus untuk mengawal stereng dengan kemas kerana mula terasa olengan apabila melintasi atau memotong kenderaan bersaiz besar seperti lori dan bas.

Pecutan dengan enjin empat silinder DOHC Dual VVT-i yang mempunyai kuasa maksimum 107PS bersama tujuh kelajuan terasa lancar tanpa perlu menekan pedal minyak dengan kerap untuk mendapatkan kembali momentum pecutan selepas memperlahankan kenderaan.

Pemanduan Vios serba baharu juga lebih senyap berbanding generasi sebelumnya kerana kadar gegaran dan kebisingan yang lebih rendah disebabkan penggunaan penebat bunyi yang lebih baik. Secara tidak langsung, ia memberikan ketenangan dan keselesaan untuk pemandu dan penumpang.

Penulis berpeluang menguji Vios serba baharu di litar khas untuk menguji PVM. Namun begitu, kamera yang digunakan bukan dalam definisi tinggi (HD) menghasilkan paparan yang tidak jelas dan sedikit gelap.

Kualiti kamera yang `biasa-biasa’ itu ditambah dengan PVM yang tidak tepat menyebabkan sukar untuk mengawal kereta terutama ketika hendak meletak kenderaan dan melalui ruang sempit tanpa membuka tingkap dan menjengah keluar kepala.

Secara keseluruhan, jika mahu mencari sebuah kereta sedan yang selesa untuk keluarga, Vios serba baharu adalah jawapannya. Dari aspek rekaan luaran, dalaman dan prestasi enjin tidak mengecewakan selain selesa untuk perjalanan jauh.

* Pakej

Vios serba baharu varian G berharga RM87,300 sebuah tidak termasuk insurans dan didatangkan dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan. Toyota memperkenalkan warna baharu untuk Vios iaitu Dark Blue Metallic.

Pemilik juga akan menikmati keahlian 24SEVEN Road Assist bagi tahun pertama yang membolehkan penerimaan bantuan tepi jalan dengan hanya satu panggilan telefon sahaja.