Rekaan yang berkonsepkan identiti bagi 10 negara ASEAN merupakan simbolik sokongan syarikat penerbangan tambang murah itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Dr. Tony Fernandes, sebagai tanda sokongan bukan sahaja rekaan malah bendera ASEAN akan diletakkan pada setiap pesawat yang terbang dalam rantau itu.

“AirAsia terhutang budi dengan ASEAN yang selama ini menyokong usaha-usaha kami dalam mempromosikan tambang murah terutama bagi penerbangan domestik dan antara negara-negara Asia Tenggara.

“AirAsia juga merupakan rangkaian penerbangan sebenar bagi ASEAN dan kami mahu membawa semua masyarakatnya lebih dekat menerusi penerbangan tambang murah.

“Hal demikian merupakan inisiatif AirAsia untuk membalas budi negara-negara dalam rantau ini kerana ASEAN menjadi tulang belakang kejayaan kami,” katanya ketika berucap dalam sambutan ulangtahun ASEAN ke - 50 oleh AirAsia.

Turut hadir di majlis itu, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. AKT. Mochtan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan AirAsia Berhad, Aireen Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Filipina, Kapten Dexter Comendador.

Tambah Tony, rekaan baharu pada badan pesawat itu adalah insirasi daripada batik dan tekapan yang menjadi identiti bagi setiap negara-negara ASEAN.

“Ia merupakan warna-warni identiti negara-negara ASEAN yang diilhamkan menerusi tekstil, arkitektur, kesenian dan alam semula jadi.

“Sebagai contoh, batik cetak dari Malaysia, ‘poom khao’ dari Thailand, ulos Batak dari Indonesia, ‘trong dong’ dari Vietnam dan tapis dari Filipina.

“Selain itu,’kbach pka Chan’ dari Cambodia, ‘lao phoutai dari Laos, ‘chate’ dari Myanmar, jongsarat dari Brunei dan ‘vanda Miss Joaquim dari Singapura turut terpapar pada rekaan baharu badan pesawat AirAsia,” katanya.

Sebelum ini, sempena ulangtahun ASEAN ke - 50 AirAsia juga menawarkan tambang murah yang diperkenal pada Februari lalu untuk perjalanan bermula 5 September hingga 23 November tahun ini.

Kemudian, AirAsia mempekenalkan program sokongan merangkumi kerjasama dengan universiti-universiti serantau, hari keusahawanan, kem kewartawanan dan program pertukaran kakitangan untuk tahun 2018.

Dalam program tersebut, Tony Fernandes memberitahu antara perancangan AirAsia adalah menambah laluan penerbangan baharu.

Disamping itu program itu juga sebagai usaha untuk merapatkan hubungan antara negara-negara ASEAN dalam hubungan kemasyarakatan dan pembangunan ekonomi. - UTUSAN ONLINE