Berbeza dengan syarikat per­khidmatan e-hailing lain yang semakin kurang memberi insentif kepada pemandu, Faszz yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera akan menyediakan insentif, insurans serta perlin­dungan kepada pemandu berdaftar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Faszz, Datuk Ishak Mohd. Ishtiaq berkata, aplikasi itu juga menekankan kepada ciri butang SOS bagi memastikan keselamatan penumpang dan pemandu terjamin.

Katanya, usaha membangunkan aplikasi Faszz sudah dimulakan sejak 18 bulan lalu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) meliputi perancangan, konsep dan reka bentuk juga telah selesai dilaksanakan.

“Kumpulan kami mempunyai tenaga kerja mencukupi dan kepaka­ran dari segi pengurusan data dan dapat memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan.

“Kini terdapat lebih daripada 10 syarikat menawarkan perkhid­matan sama, tetapi Faszz adalah berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Faszz diambil daripada perkataan bahasa Inggeris ‘fast’ bermaksud laju.

Ishak berkata, laju yang dimaksudkan adalah sistem operasi yang cekap untuk memberi pengalaman pengguna menempah kenderaan secara pantas.

Menyedari industri e-hailing yang mempunyai semakin ba­nyak pesaing daripada dalam dan lu­ar nega­ra, Ishak yakin persaingan membawa kepada peluang, inovasi dan tawaran yang le­bih baik.

“Pada peringkat awal, perkhidmatan Faszz akan meliputi di kawasan Lembah Klang dan Se­remban, Negeri Sembilan. Kami merancang untuk mengembangkannya ke Pantai Timur, Sabah dan Sarawak sekiranya mendapat sambutan.

“Setakat ini, kami mempu­nyai sekumpulan pemandu yang berdaftar dan masih mencari pemandu yang berminat untuk menyertai Faszz,” katanya.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi itu menerusi App Store dan Google Play secara percuma.