DRB-Hicom dalam kenyataannya berkata, kumpulan mencatatkan kerugian pracukai sebanyak RM46.94j bagi tempoh sembilan bulan berakhir Disember 2018.

Menurut syarikat itu, pendapatan sektor perkhidmatan kumpulan sebanyak RM3.37 bilion didorong oleh peningkatan prestasi operasi perbankan dan pengurusan sisa pepejal yang membolehkan sektor berkenaan mengekalkan paras pendapatan yang hampir sama berbanding tempoh sebelumnya.

“Perolehan sektor hartanah pula berjumlah RM364.35 juta susut berbanding tempoh yang sama tahun lalu disebabkan pendapatan yang lebih rendah daripada projek-projek pembinaan kumpulan. Sektor automotif kekal sebagai penyumbang terbesar kepada syarikat iaitu sebanyak RM5.28 bilion.

“Bagaimanapun, jumlah ini adalah lebih rendah berbanding tahun sebelumnya kerana mengambil kira perolehan daripada penjualan Lotus pada September 2017. Penerimaan positif terhadap X70 dan peningkatan jumlah pengeluaran kenderaan perisai AV8 meneraju prestasi suku ke-3 yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai prospek tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019, DRB-Hicom berkata, kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton sehingga kini telah menerima tempahan sebanyak 18,000 buah.

Menurutnya, pembuat kereta nasional itu akan meneruskan inisiatif peningkatan kualiti serta menaik taraf model-model Proton yang ditawarkan.

“Usaha-usaha ini telah terbukti penting dalam meningkatkan keyakinan pasaran terhadap Proton. Mengadaptasi amalan global di semua rangkaian jualan memastikan proses pengedaran yang lebih mesra pelanggan.

“Bagi cabang perniagaan lain, kumpulan akan meneruskan aktiviti penambahbaikan di seluruh rantaian nilai sejajar usaha meningkatkan prestasi perniagaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE