Pengarah Urusan Kumpulan UDA Holdings, Datuk Ahmad Abu Bakar berkata, projek itu kini berada di peringkat kelulusan reka bentuk dan pembinaan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2021.

“Angsana Johor Bahru Mall 2 ini akan dibina di kawasan berhampiran Angsana Johor Bahru Mall sedia ada dengan keluasan pembinaan 4 hektar. 

“Jadi kita juga akan membina jambatan yang menghubungkan kedua-dua bangunan ini selain beberapa landskap yang memberi kemudahan kepada pengunjung,” katanya kepada pemberita  pada Majlis Hari Raya Aidilfitri UDA Angsana Sdn. Bhd. dan UDA Land South di sini hari ini.

Ahmad berkata, gedung baharu itu akan lebih besar daripada pusat beli-belah sedia ada dengan keluasan kira-kira 800,000 kaki persegi dan akan menawarkan pelbagai jenis perniagaan serta jenama antarabangsa.

“Dengan adanya Angsana Johor Bahru Mall 2, ia tentunya akan menarik kehadiran lebih ramai pelancongan terutama­nya dari Singapura. Warga tempatan pula akan mempunyai dua pilihan kategori membeli-belah yang tentunya akan memberikan kepuasan kepada mereka,” katanya.

Selain itu, katanya, UDA Holdings juga akan memba­ngunkan Pusat Bandar Tampoi di atas baki tanah seluas 14 hektar yang meliputi kompleks perniagaan, dewan konvensyen, hotel, kondominium mewah dan apartmen kos sederhana berhampiran dengan Angsana Johor Bahru Mall 2.

Sementara itu, Ahmad ber­kata, bagi memberi keselesaan kepada pengunjung, kerja-kerja menaik taraf Angsana Johor Bahru Mall telah dilaksanakan bermula 2011 dengan kos sebanyak RM10 juta yang terma­suk kemudahan eskalator, lif, lantai, lampu, penghawa dingin dan pelbagai kemudahan lain.

UDA Holdings sebelum ini mengumumkan akan melancarkan lima projek dengan GDV ber­nilai RM500 juta pada separuh kedua tahun ini.

Ahmad dilaporkan berkata, kebanyakan projek tersebut akan memberi tumpuan kepada projek rumah mampu milik bernilai antara RM350,000 hingga RM500,000, dan GDV itu bagi tempoh projek antara dua hingga tiga tahun.

Setakat April tahun ini, UDA mempunyai bank tanah seluas 501.8 hektar (bagi projek sedia ada dan akan datang) di seluruh negara dengan GDV berjumlah RM19.9 bilion.

Menurut Ahmad, pada separuh pertama tahun ini, UDA tidak me­lancarkan sebarang projek baharu kerana ingin memberi tumpuan kepada jualan unit bagi projek-projek sedia ada. – Bernama

Projek kini di peringkat kelulusan 
reka bentuk

Pembinaan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2021

Keluasan pembinaan 11 ekar, keluasan bangunan kira-kira 800,000 kaki persegi

Tawarkan 
pelbagai jenis 
perniagaan serta 
jenama antarabangsa