AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF
AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF 

Sebaliknya, menurut Juruperunding Kewangan Bebas, Bina Pavo Data Intelligence Sdn. Bhd., Mohamad Azhar Hashim, Malaysia Airlines perlu terus beroperasi namun dalam skala yang lebih kecil sebagai satu jalan penyelesai­an jangka pendek dan sederhana bagi memulihkan syarikat penerbangan negara itu.

Beliau berkata, industri pe­nerbangan antarabangsa berubah dengan drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kewujudan syarikat penerbangan gergasi Asia Barat dan juga syarikat untuk segmen yang khusus dilihat sedikit sebanyak menjejaskan beberapa laluan Malaysia Airlines.

“Malaysia Airlines yang dile­takkan di bawah Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) sebenarnya gagal membaca arus pasaran yang sungguh dinamik. Jika mahukan ia ditutup saya rasa ia tidak adil, sebaliknya penerbangan domestik perlu ditutup sepenuhnya.

“Operasi laluan antara­bangsa pula hanya dike­kalkan kepada destinasi utama yang mempunyai ramai penumpang sahaja, atau kekalkan operasi haji Malaysia Airlines. Dengan itu Malaysia Airlines kekal sebagai syarikat penerbangan negara tetapi dalam skala yang kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa langkah terhadap Malaysia Airlines termasuk kemungkinan menutup syarikat penerbangan negara itu.

MOHAMAD AZHAR HASHIM
MOHAMAD AZHAR HASHIM 

Pertimbangan itu dibuat kerana kerugian dihadapi Malaysia Airlines sejak beberapa tahun lalu menyumbang kepada susut nilai yang besar kepada Khazanah.

Mahathir berkata, beberapa pilihan lain yang boleh diambil kerajaan dalam isu membe­lenggu Malaysia Airlines termasuk menjual atau menyuntik dana kepada syarikat itu.

Perlu bertindak segera

Tambah Mohamad Azhar, isu sama ada Malaysia Airlines perlu diselamatkan atau ditutup sememangnya perlu diberi pertimbangan teliti namun pihak-pihak yang terlibat perlu bertindak segera.

“Bukan sahaja soal kewa­ngan, kerajaan juga perlu melihat dari sudut reputasi dan maruah. Sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk menyelamatkan Malaysia Airlines buat kali keempat, sesuatu yang drastik perlu dilakukan.

“Antaranya campur tangan kerajaan dalam pengurusan perlu sifar. Saya fikir Khazanah bukanlah pihak yang layak untuk mengurus perniagaan pe­ner­bangan yang sangat kompleks.

“Perniagaan penerbangan bukan teori dan buku teks. Sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk menutup Malaysia Airlines, alternatif terbaik kepada rakyat perlu disediakan,” katanya.

Sementara itu Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah terbaik bagi memulihkan syarikat penerbangan nasional itu adalah dengan kerajaan mengenal pasti agensi yang sesuai me­ngendalikan Malaysia Airlines di atas dasar agenda nasional.

“Kita tahu sesetengah laluan penerbangan memang tidak menguntungkan kerana melibatkan kawasan pedalaman tetapi atas tanggungjawab sosial Malaysia Airlines tetap menawarkan pe­nerbangan tersebut berbanding AirAsia yang hanya menawarkan laluan yang menguntungkannya,” katanya.

Mampu buat pemulihan

Menurutnya, agensi yang mengendalikan Malaysia Airlines harus sanggup mengetepikan pulangan atas pelaburan dalam masa terdekat tetapi mampu membuat pemulihan ke atas Malaysia Airlines dalam jangka masa sederhana atau lama.

“Ini kerana Khazanah sekarang sudah menumpukan kepada strategi pelaburan komersial yang menjanjikan pulangan dalam masa singkat, yang sukar dilakukan oleh Malaysia Airlines,” katanya.

Kenyataan daripada Malaysia Airlines

Sementara itu, Malaysia Airlines dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah bekerjasama rapat dengan para pemegang saham berkenaan fasa seterusnya pelan pemulihan sejak September lalu.

“Tempoh masa dan rangka kerja itu juga telah dikongsikan kepada Perdana Menteri pada November. Malaysia Airlines kekal komited dengan tempoh masa yang diberikan dan akan berkongsi perancangan tersebut dalam masa terdekat,” katanya.