TNB berkata, anak syarikatnya, TNB Bukit Selambau Solar Sdn. Bhd. (TBSS) bersama MUFG Bank (Malaysia) Bhd. telah memuktamadkan pembiayaan bagi projek berkenaan.

Katanya, MUFG Bank akan menyediakan dana dan modal kerja bernilai sehingga RM144 juta yang diperlukan untuk projek LSS tersebut

TBSS, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan untuk melaksanakan LSS di Kuala Muda, Kedah telah dianugerahkan kontrak oleh Suruhanjaya Tenaga melalui proses pembidaan yang kompetitif.

“TNB dan TBSS menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) selama 21 tahun bagi projek berkenaan pada awal Mac 2018. Projek tersebut dijadualkan siap pada suku keempat 2020,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

TNB berkata, kapasiti penjanaan bagi LSS tersebut adalah 30 megawatt (mW) manakala LSS pertama TNB di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor mampu menjana kapasiti penuh sebanyak 50mW.

Syarikat utiliti negara itu berkata, projek LSS adalah bukti aspirasi dan komitmen TNB ke arah pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

Ia juga mencerminkan kecekapan dan kepakaran TNB dalam RE serta memiliki reputasi sebagai pemaju projek tenaga.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menetapkan sasaran sebanyak 20 peratus daripada tenaga elektrik negara akan dijana menerusi sumber boleh diperbaharui menjelang 2030.