KUALA LUMPUR 31 Julai – Projek Geospatial Information System (GIS) Bahagian Pembahagian, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerima Anugerah Kecemerlangan Geospatial pada Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan (NGIS) kelapan baru-baru ini.
Menurut TNB, penyertaan yang bertajuk ‘Memperkasakan Projek GIS di Bahagian Pembahagian TNB ke Arah Grid of The Future’ mengandungi pelaksanaan sistem untuk dikembangkan sehingga meliputi lebih 76,000 pencawang dan 1.3 juta kilometer talian kabel elektrik.
“GIS Pembahagian itu dilancarkan tahun lalu bagi membolehkan urusan menganalisis, menyimpan, memanipulasi dan menggambarkan maklumat dalam bentuk spatial di atas peta sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Anugerah tersebut disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Seri Azizan Ahmad kepada Ketua Projek GIS Distribution, Ir. Fazilah Mat Yatim pada simposium tersebut yang bertemakan Inovasi Geospatial Ke Arah Wawasan Negara.
Program tersebut dianjurkan Pusat Infrastruktur Data Geospatial Negara (MaCGDI) dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.
Ia bertujuan mewujudkan wadah perkongsian maklumat dan pengalaman melibatkan komuniti geospatial dalam kalangan agensi kerajaan dan swasta di Malaysia.