Ketua Pegawai Strateginya, Ir. Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Siam berkata, sebanyak RM120 juta telah dibelanjakan pada tahun lalu untuk R&D dan pihaknya berjaya mencipta nilai sehingga enam kali ganda daripada jumlah yang dilaburkan.

Menurut beliau, penciptaan nilai dihasilkan dalam pelbagai bentuk seperti produk dan sistem baharu, mengoptimumkan proses dan kecekapan.

“Selain melaksanakan R&D di peringkat dalaman, kami juga bekerjasama dengan pelbagai syarikat dari luar negara termasuk Korea Selatan, Jepun dan Vietnam.

Produk-produk yang dihasilkan bukan sahaja untuk kegunaan Tenaga Nasional Berhad (TNB), tetapi untuk negara dan dikomersialkan kepada pihak luar.

“Kepakaran TNB Research dalam pelbagai bidang membolehkan kami terpilih me­nyer­tai rangkaian pintar di negara maju seperti Jepun dan Jerman. Pakar kami juga mewakili Malaysia di pentas antarabangsa sekali gus mengangkat penyelidik negara ke persada lebih tinggi khususnya dalam sektor tenaga,” katanya dalam majlis Hari Terbuka TNB Research 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis.

Dalam pada itu, Isnaraissah Munirah berkata, syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) harus mencontohi TNB yang mengga­lakkan R&D dan inovasi melalui anak syarikatnya.

“Usaha TNB dalam memba­ngunkan kepakaran dalaman selari dengan komitmen kementerian ke arah keupayaan inovasi negara di samping meningkatkan kadar pengkomersialan aktiviti R&D,” katanya.

Tambah Isnaraissah Munirah, pihaknya menyasarkan 100 penyelidik kementerian MESTECC akan dihantar ke industri pada tahun ini bagi memberi pendedahan kepada industri selain menjadi platform terbaik dalam memperkenalkan dan memperkasa perkongsian pintar.

Hari Terbuka TNB Research 2019 merupakan program tahunan yang menampilkan 22 pempamer dan program seminar ringkas berkaitan industri utiliti. Selain itu, sebanyak empat buah buku terbitan TNB Research turut dilancarkan.