Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman berkata, kertas-kertas teknikal ha­rus tertakluk di ba­wah mana-mana lapan ka­tegori yang dikenal pasti iaitu Tenaga Hijau dan Lestari; Penjanaan dan Alternatif Masa Hadapan; Penyaluran Tenaga dan Grid Masa Hadapan; Pengedaran dan Rangkaian Maju; Grid Pintar dan Teknologi Baharu; Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Inovasi; Peruncitan dan Perkhidmatan Pelanggan serta Transformasi Perniagaan dan lain-lain.

“Kami mengalu-alukan abstrak daripada profesional-profesional di dalam bidang industri pembekalan elektrik. Ini me­rangkumi mereka yang terlibat di dalam pembiayaan projek; pembangunan teknologi; formulasi dasar; tenaga diperbaharui; perisian, reka bentuk sistem dan analitik; penilaian impak alam sekitar dan storan bateri.

“Butiran menge­nai kategori dan garis panduan untuk penyerahan abstrak serta kertas-kertas boleh diperoleh menerusi laman web CEPSI 2018, www.cepsi2018kl.org. Sila kemukakan abstrak anda pada atau sebelum 16 April 2018,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

CEPSI merupakan persidangan dan pameran industri pembekalan elektrik paling penting dan berprestij di Asia Timur dan rantau Pasifik Barat di bawah selian Persatuan Industri Pembekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP).

Bertemakan ‘Membayangkan semula Utiliti Masa Hadapan’, persidangan itu akan menumpukan kepada senario semasa bagaimana industri pembekalan elektrik mengalami transformasi ekoran kemunculan dan penggabungan akibat gangguan teknologi, perubahan ekonomi, ke­perluan kemapanan dan peraturan yang berubah pesat, serta pertambahan jangkaan pelanggan.

Ia juga akan menangani topik-topik seperti mega­trend, kelestarian, trilemma tenaga, pendigitalisasi dan masa hadapan lebih pintar.

TNB sebagai tuan rumah bagi CEPSI ke-22 menjangkakan le­bih 1,500 delegasi merangkumi peneraju industri, eksekutif kanan, pegawai kerajaan dan pakar profesional dari seluruh dunia akan meluangkan masa menghadiri edisi tersebut.

Kali terakhir TNB menganjurkan CEPSI adalah pada 1996.

Roslan yang juga Setiausaha Agung AESIEAP 2017/2018 berkata, kertas-kertas terpilih akan dibentangkan ketika sesi teknikal untuk berkongsi kajian kes, pengajaran dan pe­ngalaman di tapak, tinjauan terhadap teknologi terkini dan strategi-strategi reka bentuk serta amalan terbaik industri.

“Pendaftaran untuk individu dan kumpulan bagi CEPSI 2018 kini dibuka. Mereka yang mendaftar sebelum 25 Jun 2018 akan menikmati kadar istimewa pendaftaran awal,” kata beliau.