Pengerusi TNB SESB, Tan Sri Leo Moggie berkata, selain SESB yang merupakan anak syarikat pegangan 83 peratus TNB, pusat latihan tersebut juga akan memberi manfaat kepada kontraktor SESB dan masyarakat awam di Negeri di Bawah Bayu itu.

“Ia adalah pusat latihan teknikal bagi kursus kekompetenan pencantum kabel yang pertama di Sabah dan telah mendapat pentauliahan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk mengendalikan latihan kepada para pelatih dalam kategori pencantum kabel elektrik sehingga tahap voltan 33 kilovolt (kV),” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Beliau yang merasmikan pusat itu baru-baru ini berkata, operasi pusat latihan tersebut turut melibatkan sebuah lagi anak syarikat pegangan 100 peratus TNB iaitu TNB Integrated Learning Solution Sdn. Bhd. (Ilsas).

Katanya, penubuhan pusat itu adalah selari dengan hasrat TNB untuk membangunkan modal insan berkaitan latihan teknikal dan perkhidmatan khusus yang dilaksanakan oleh Ilsas bagi TNB dan industri tenaga sejak 40 tahun lalu.

“Sejak 1978 lagi Ilsas giat membangunkan tenaga mahir yang kini dikenali sebagai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Menerusi Ilsas, sejak tiga tahun kebelakangan ini, TNB telah membelanjakan RM90 juta setahun untuk pembangunan modal insan,” katanya.

Menurut beliau lagi, selain Ilsas, pembabitan TNB untuk membangunkan modal insan turut melibatkan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN).

“Daripada 27,729 siswazah yang dilahirkan Uniten sejak penubuhannya pada 1997, seramai 12,505 atau 45 peratus adalah lulusan kejuruteraan, sementara YTN pula menawarkan 11,000 biasiswa dan pinjaman boleh ubah sejak 1993 lagi,” kata Moggie.

Tahun lepas Uniten berada dalam kelompok dua peratus terbaik dari 26,000 universiti di seluruh dunia, berdasarkan QS World University Rankings mengikut subjek Kejuruteraan dan Teknologi.

YTN pula telah membelanjakan RM55.78 juta bagi penajaan rakyat Malaysia yang cemerlang untuk menyambung pendidikan di universiti tempatan dan luar negara, menjadikan keseluruhan lebih RM1 bilion dilaburkan untuk tujuan itu.