Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, kumpulan mencatatkan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) lebih rendah pada RM13.37 bilion di­sebabkan pulangan dibenarkan yang lebih rendah pada paras 7.3 peratus di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi Tempoh Pengawalseliaan 2 (RP2).

Jelas beliau, di bawah RP2 pihak kawal selia menetapkan had pendapatan bagi perniagaan jaringan pengedaran dan TNB telah memulangkan RM639 juta kepada pengguna pada 2018.

“Kemerosotan nilai pelaburan kumpulan ditambah dengan kerugian pertukaran mata wang asing sebanyak RM390 juta susulan kelemahan ringgit telah menyumbang kepada perbelanjaan operasi lebih tinggi sekali gus menyebabkan keuntungan selepas cukai (PAT) yang lebih rendah sebanyak RM3.75 bilion.

“Pulangan stabil yang dijamin oleh IBR membolehkan kami membuat pelaburan semula yang besar bagi memastikan grid nasional yang berdaya harap dan mampan di samping meningkatkan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui (RE),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Azman, perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM11.82 bilion dicatatkan pada tahun kewangan 2018 untuk menyenggara, meningkatkan dan memodenkan infrastruktur kuasa agar memenuhi permintaan elektrik yang semakin me­ningkat serta menampung pertumbuhan RE di negara ini.

Menurutnya, syarikat sedang melaksanakan projek grid masa depan yang mana rangkaian grid akan ber­ubah menjadi grid pintar beroperasi secara automatik dan digital.

“Langkah ini membantu TNB memenuhi keperluan elektrik semasa dan masa hadapan ter­utamanya di kawasan-kawasan yang memiliki bebanan tinggi. TNB dan anak-anak syarikat telah memulakan penjanaan tenaga bersih dan menawarkan penyelesaian mesra alam seperti teknologi rumah pintar serta kecekapan dan penyelesaian tenaga,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, lembaga pengarah telah meluluskan nisbah pembayaran dividen sebanyak 56 peratus daripada keuntu­ngan selepas cukai dan kepenti­ngan minori­ti (PA­TAMI) terlaras sebanyak RM5.42 bilion.

“Pembayaran dividen ber­kenaan merupakan yang ter­tinggi setakat ini. Ini diterjemahkan kepada 53.27 sen sesaham bagi tahun kewangan 2018 yang mana 23 sen sesaham akan diagihkan sebagai dividen akhir satu peringkat,” katanya.