Malah, ada juga pelanggan yang menuntut harga dalam talian di kedai, sehingga ada yang menunjukkan harga produk yang disenaraikan di Shopee. Isu itu menimbulkan tanggapan salah bahawa kedai dalam talian dan fizikal bersaing antara satu sama lain.

Menganggap cabaran tersebut sebagai satu peluang, Thunder Match Techno­logy Sdn. Bhd. (TMT) melaksa­nakan pendekatan menerusi pelbagai saluran bagi penjenamaan, pemasaran dan penetapan harga.

Berbangga kerana sentiasa mengutamakan pengalaman dan kepuasan pelanggan, Pengasas dan Pengarah Urusan TMT, Adrian Yu berkata, syarikatnya berjaya mencipta ekosistem lancar menggabungkan gedung fizikal dan gedung dalam talian.

“Kami sedang meneroka model Dalam Talian ke Luar Talian (O2O) yang turut disepadukan dalam inisiatif pemasaran. Kami kini mengkaji model klik dan kumpul yang mana pelanggan boleh memesan barangan dalam talian dan mengumpul belian mereka dari kedai runcit kami.

“Perkhidmatan tersebut dapat mewujudkan pengalaman pelanggan yang lebih baik de­ngan meliputi pelbagai titik sentuhan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

TMT melancarkan kedai rasminya di Shopee pada 2018 sebagai sebahagian daripada pelan transformasi digital dan strategi jangka panjang untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai Peruncit Rantaian IT dan Mudah Alih terbesar di Malaysia di dalam dan luar talian.

Pada September 2018, TMT melancarkan kempen dalam talian terbesar dan paling agresif sempena Shopee 9.9 Super Shopping Day yang sekali gus menggandakan angka jualan e-dagangnya sebanyak 10 kali ganda, dengan menjana hasil lebih RM1 juta dalam masa seminggu.

Menurut Yu, lonjakan itu menyedarkan TMT bahawa jualan dalam talian bukan setakat menyenaraikan produk dan memberikan diskaun dan berdagang semata-mata.

Katanya, usaha merombak syarikat berusia 22 tahun itu menjadi sebuah syarikat digital yang mampu mencipta dan mengekalkan nilai pasaran di dalam dan luar talian bukannya sesuatu yang mudah.

“Peningkatan populariti e-dagang memerlukan penambahbaikan operasi kepada bagaimana peruncit tradisional menjalankan semua aspek perniagaan masing-masing. Satu contoh yang baik ialah TMT mempunyai sembilan pusat penunaian pesanan di seluruh negara tetapi tidak mempunyai sumber dan ruang yang diperlukan untuk memenuhi keperluan jualan dalam talian.

“Kelemahan ini ketara semasa Shopee 9.9 Super Shopping Day. Pusat mereka ternya­ta menghadapi kesukaran dan walaupun sebahagian besar pesa­nan telah dihantar kepada pe­langgan, TMT terpaksa membuat penghantaran lewat dan dalam kes tertentu, menerima pembatalan pesa­nan,” katanya.

TMT bagaimanapun, ujar beliau, tidak berputus asa dan sebaliknya mengkaji semula semua sistem dan proses sedia ada dari segi keupayaan penggudangan dan pelaksanaan sebelum menaik taraf sistem dan proses penggudangan dengan teknologi terkini.

Sebagai mengiktiraf kejayaannya, TMT menggegar Shopee pada 20 Februari lalu sempena Super Brand Day. TMT merupakan peruncit terbesar bagi produk pengguna berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi dengan 80 cawa­ngan di seluruh negara yang menawarkan pelbagai pilihan komputer, gajet, produk elektronik dan aksesori.