Pengembaraan saya bermula dari Croatia kemudiannya ke Bosnia Herzegovina sudah cukup untuk membandingkan kemajuan antara dua negara yang berada dalam wilayah Balkan selain Montenegro, Albania dan Serbia.

Namun perlu di ingat negara ini pernah mencatatkan sejarah pergolakan dalam peta dunia. Jadi sudah tentu ia masih dalam proses pembangunan yang meliputi aspek ekonomi dan sosial.

Bagi kebanyakan pelancong dan pengembara terutama dari Malaysia ia menjadi pilihan ke­rana murah dan ada nilai serta tarikan tersendiri.

Antara tempat yang menjadi pilihan Pasport UtusanBiz di Bosnia adalah:

Sarajevo

Bandar terbesar di Bosnia Herzegovina ini mempunyai reka bentuk bangunan lama yang berunsur Islam. Sarajevo terbahagi kepada dua iaitu bandar baharu Novo Sarajevo dan bandar lama Stari Grad.

Di bandar ini juga tercatat sejarah tamadun Islam kerajaan Turki Uthmaniyah bermula tahun 1400 masihi. Ada pelbagai tempat tumpuan di sini antaranya Bascarsija (disebut Bascarsyiya), Masjid Gazi Husrev dan juga tapak perkuburan Islam Kovaci yang menempatkan pejuang semasa konflik di antara pejuang Bosnia dan puak Serb.

Satu perkara yang menarik perhatian di sini adalah struktur bangunan tinggalan semasa perang yang masih ada termasuk kesan lubang tembakan di beberapa bangunan di samping Tunnel of Hope iaitu satu lagi tempat bersejarah yang perlu dilawati.

Ia secara tidak langsung mengingatkan tentang pergolakan yang berlaku. Malah imaginasi juga secara tiba-tiba bermain di fikiran jika anda sering menonton dokumentari berkenaan negara itu.

Mostar

Di sini terdapatnya sebuah jambatan iaitu Stari Most yang menyeberangi sungai yang cantik. Ia di bina dengan bercirikan reka bentuk Turki Uthmaniyah terletak di kawasan Old Town.

Apa yang menarik perjalanan menaiki bas dari Sarajevo ke Mostar adalah kerana pemandangannya terdiri dari gunung, tasik dan sungai serta melepasi beberapa bandar kecil.

Ada baiknya menyewa kereta jika datang secara berkumpulan kerana anda sudah tentu boleh mempunyai masa untuk berhenti di sepanjang perjalanan dan mengambil gambar.

Selain itu, pilihan kedua adalah dengan menaiki kereta api. Tiket boleh di beli di stesen kereta api Sarajevo dengan kekerapan perjalanan adalah setiap dua jam.

Ada pelbagai lagi tempat menarik yang boleh dikunjungi di sana antaranya Rumah Biscevic; Menara Tower dan beberapa buah masjid termasuk Masjid Kaska Mehmed Pasha.

Bagi yang gemar membeli- belah, di sinilah tempatnya ke­ra­na ada pelbagai cenderamata yang dijual.

Srebrenica

Jika di Poland mempunyai Auschwitz Birkenau, Bosnia Herzegovina juga mempunyai tinggalan perangnya sendiri. Tempat sejarah yang meninggalkan banyak kenangan hitam berlaku pada tahun 1995 melibatkan lebih 8,000 mangsa ketika konflik berlaku.

Ia menjadi salah satu tempat wajib menjadi pilihan Pasport UtusanBiz selain daripada ejen pelancongan di Malaysia bagi mengetahui lebih lanjut kejadian sebenar dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai.

Pengunjung juga dapat melihat kubur mangsa dan juga kubu-kubu yang digunakan sebagai tempat berlindung bagi mangsa yang terlibat dalam ke­jadian itu. Malah beberapa lu­kisan di dinding juga sebenar­nya menceritakan pelbagai ki­sah penderitaan yang di tanggung oleh mangsa.