“Syarikat berkenaan ialah WSP Engineering Malaysia Sdn. Bhd., Mott MacDonald Malaysia Sdn. Bhd. dan Ernst & Young Advisory Services Sdn. Bhd.,” kata MyHSR dan LTA dalam satu ke­nyataan bersama di sini hari ini.

JDP itu akan menawarkan sokongan pengurusan projek dan nasihat teknikal mengenai sistem serta operasi HSR, di samping membangunkan standard teknikal dan ke­selamatan untuk digunakan dalam projek tersebut, jelas kenyataan itu

“Ia juga akan membantu Pasukan Projek Bersama yang diwujudkan antara MyHSR dan LTA dalam penyediaan dokumen tender untuk tender akan datang berkaitan aspek bersama projek itu, seperti pelantikan AssetsCo dan OpCo International,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR, Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, pelantikan JDP menandakan bermulanya perjalanan mencabar tetapi menarik untuk menjadikan projek HSR satu kenyataan.

Konsortium yang terdiri daripada WSP Engineering, Mott MacDonald dan Ernst & Young Advisory Services akan menyertai pasukan projek MyHSR dan LTA bagi membangunkan lagi projek terbabit, katanya.

“Semua pasukan perlu be­kerjasama rapat untuk memastikan projek itu dilaksana dengan jayanya. Pengumuman lanjut akan dibuat tidak lama lagi me­ngenai pelantikan lain bagi projek berkenaan,” katanya.

Ketua Eksekutif LTA, Ngien Hoon Ping berkata, dengan gabungan kepakaran dan pengalaman luas konsortium itu dalam projek HSR di peringkat antarabangsa, MyHSR dan LTA akan berupaya memulakan penyediaan tender bersama akan datang untuk projek strategik ini.

“Di samping kontrak Kajian Kejuruteraan Lanjutan yang diberikan sebelum ini oleh LTA bagi menjalankan kajian kejuruteraan untuk laluan HSR di Singapura, dua perkembangan ini menandakan babak sete­rusnya perjalanan kita untuk menyiapkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura yang disasarkan pada akhir 2016,” tambahnya. – BERNAMA