Pengerusi Eksekutif Brahim’s, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, syarikat akan mengemukakan pelan komprehensif yang turut membabitkan perbincangan strategik dengan rakan niaga bagi menyemak semula struktur modal dan perniagaannya dalam usaha mematuhi ketetapan penyenaraian Bursa Malaysia.

IBRAHIM AHMAD
IBRAHIM AHMAD 

“Kami tidak merancang untuk dinyahsenarai dan berazam untuk keluar daripada status PN17 berkenaan.

“Kami juga berada dalam perniagaan yang tepat dan sebagai penggiat utama halal global, kami mahu memberi jaminan kepada pemegang saham, pe­langgan, pembekal, rakan usa­ha sama dan pekerja bahawa operasi perniagaan tidak terjejas dengan status itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Brahim’s, Datuk Howard Choo Kah Hoe dan Ketua Pegawai Kewangan Brahim’s, Mohd. Fadhli Abdul Rahman.

Ibrahim berkata, syarikat akan turut mendapatkan pandangan penasihat prinsipal bagi merangka dan mengemukakan pelan regularisasi dalam tempoh tiga bulan akan datang serta membuat pengumuman sewajarnya selepas itu.

“Buat masa ini, kami tidak dapat menyatakan bagaimana kami akan keluar daripada status itu sehinggalah mendapat gambaran jelas hala tuju yang perlu diambil.

“Kami turut meneliti semua pilihan yang ada dan berusaha ke arah memperbaiki pengurusan kos dalam operasi utama bukan dagangan termasuk menilai semula kontrak pemerolehan pembekal, penyelenggaraan dan baik pulih,” katanya.

Beliau juga pada masa sama berkata, syarikat tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melupuskan aset dan mengurangkan kakitangannya.

Malah, jelasnya, perniagaan teras syarikat itu dalam penyajian makanan dalam penerba­ngan tidak akan terjejas dan operasi juga berjalan seperti biasa.