Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, naik turun pasaran ekuiti tempatan dan luar negara telah menyebabkan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan penurunan sebanyak 5.17 peratus pada 2018

Beliau justeru merasakan tumpuan kini akan lebih kepada pendapatan tetap dan bukannya ekuiti kerana pada 2016, seba­nyak 55 peratus daripada asetnya berbentuk ekuiti kemudian menurun kepada 50 peratus pada 2017.

“Tetapi, ia tidak bermakna kami tidak akan melabur di dalam ekuiti, saya fikir lebih banyak pelaburan akan menjurus kepada pendapatan tetap yang mana kita mempunyai ali­ran pulangan.

“Kami belum membentangkan peruntukan aset baharu kepada lembaga tetapi sebagai ketua pegawai eksekutif, saya secara peribadi boleh mengatakan bahawa kumpulan harus mempunyai 60 hingga 70 peratus dalam pendapatan tetap, bergantung kepada baki saiz dana selepas pengagihan hibah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagi meningkatkan ketelusan pada masa depan, TH akan menyediakan maklumat terkini setiap suku tahun mengenai prestasi kewangannya bermula suku pertama 2019 bagi membolehkan sebanyak 9.3 juta pendeposit melihat prestasi kumpulan dari semasa ke semasa.

Ujar Zukri lagi, TH berada di kedudukan yang baik untuk membayar hibah atau dividen pada 2018 secara sah setelah selesai memindahkan kesemua ekuiti yang tidak berprestasi baik kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.

“Kami akan membayar hibah, cuma jumlah hibah itu akan bergantung kepada prestasi kewa­ngan TH. Jangan letak harapan yang tinggi, kami baru baik daripada ‘demam’,” katanya.

Menurutnya, sejumlah 106 aset domestik tersenarai yang kurang menguntungkan keba­nyakannya adalah daripada sektor perladangan, minyak dan gas, hartanah dan pembinaan, di mana TH tidak mempunyai pegangan kawalan.

“Saham yang kurang berprestasi mencatatkan kerugian tidak direalisasi sebanyak 96.5 peratus dengan 10 kaunter rugi utama menyumbang hampir RM4.6 bilion daripada kerugian tidak direalisasikan.

“TH sebelum ini membeli sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1Malaysia Development Bhd. pada harga RM188.5 juta dan telah dijual semula kepada kerajaan pada kadar premium,” jelas beliau.

Pada 2017, TH merekodkan jumlah deposit sebanyak RM73.56 bilion dan ia meningkat hampir RM1 bilion kepada RM74.5 bilion pada 2018.

Malah, pada Disember lalu, TH menerima pendaftaran kira-kira 31,500 akaun baharu biarpun pada bulan itu banyak beri­ta mengenai agensi berkenaan tersiar.